Isu kalimah ALLAH: Menteri Agama minta semua kekal tenang


  • Primer
  • Rabu, 17 Mei 2023

Mohd Na'im beri jaminan akan sentiasa bekerjasama dengan KDN dalam memelihara dasar sedia ada yang sedang berkuat kuasa berhubung isu penggunaan kalimah ALLAH dan lain-lain kalimah suci dalam agama Islam.

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar menasihatkan orang ramai supaya kekal bertenang dalam menyuarakan pandangan berhubung isu penarikan semula rayuan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap penggunaan kalimah 'ALLAH'.

Beliau berkata, semua pihak juga perlu mengelak daripada terpengaruh dengan sentimen yang tidak berasas bagi memelihara kesejahteraan dan keharmonian beragama.

"Orang ramai dinasihatkan supaya bertenang dan mengambil pendekatan berhati-hati dalam bertindak balas terhadap isu ini kerana ia melibatkan teknikal perundangan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurut Mohd Na'im, kementeriannya akan meningkatkan pemantauan dan bertindak tegas terhadap sebarang bentuk pelanggaran pengembangan doktrin atau kepercayaan agama lain dalam kalangan orang Islam selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau turut memberi jaminan akan sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam melindungi dan memelihara dasar sedia ada yang sedang berkuat kuasa berhubung isu penggunaan kalimah ALLAH dan lain-lain kalimah suci dalam agama Islam.

“Jabatan ini juga mengambil maklum tentang pendirian KDN dalam menghormati, mengiktiraf dan menerima enakmen negeri-negeri serta titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 7 Februari lalu, yang menyatakan bahawa dasar sedia ada berhubung penggunaan kalimah 'ALLAH' dikekalkan.

“Kementerian akan sentiasa menjunjung titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam menjaga dan memelihara kesucian agama Islam termasuk penggunaan kalimah ‘ALLAH’,” ujarnya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, penggunaan kalimah 'ALLAH' hanya dibenarkan untuk penganut beragama Kristian di Sarawak, bukan negeri-negeri lain.

Beliau menegaskan, perkara itu telah pun dijelaskan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada Selasa.

“Kita mesti faham Sarawak dulu tidak terikat dengan keputusan-keputusan negeri, ia tidak boleh terpakai di Melaka, Pulau Pinang atau Selangor.

"Mahkamah telah memutuskan (memihak kepada Sarawak) dan kita perlu faham bahawa ia adalah hak prerogatif negeri itu," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram