[VIDEO] Padah buat aksi 'superman', mat rempit melambung kena rempuh di George Town


  • Tular
  • Ahad, 04 Jun 2023

Tangkap layar insiden kemalangan membabitkan seorang penunggang motosikal di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, Pulau Pinang pada Sabtu.

SEORANG penunggang motosikal dipercayai mat rempit dirakam terlibat dalam satu kemalangan yang berlaku di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu yang menghubungkan bandar George Town dan Bayan Lepas, Pulau Pinang pada Sabtu.

Video berdurasi 16 saat yang tular di laman media itu memaparkan dua individu lelaki sedang berlumba di kawasan terbabit.

Turut disaksikan ramai penunggang motosikal lain, insiden itu dipercayai merupakan satu aktiviti lumba haram yang dianjurkan oleh pihak yang terlibat.

Mempamerkan aksi 'superman' ketika memecut di laluan berkenaan, salah seorang daripadanya gagal menekan brek sebaik didatangi sebuah kereta Perodua Bezza yang membuat pusingan U dari arah bertentangan.

Penunggang terbabit kemudiannya merempuh kereta itu dan tercampak ke bahu jalan manakala seorang lagi rakannya berjaya mengelak daripada kemalangan tersebut.

Namun, sehingga kini polis masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kejadian itu dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai untuk membuat laporan.

Terdahulu, pada 17 Julai 2022, lima lelaki dilaporkan maut dan dua penunggang motosikal cedera parah dalam kemalangan membabitkan beberapa buah motosikal dan dua kereta di lokasi sama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram