BEBERAPA kemalangan maut melibatkan 'mat rempit' yang menunggang secara berbahaya di atas jalan raya ternyata tidak sedikit pun menimbulkan keinsafan terhadap kumpulan tersebut.
Tidak sampai sehari terjadinya kemalangan maut melibatkan seorang remaja dirakam melakukan gaya 'Superman' di George Town, Pulau Pinang, satu lagi aksi serupa direkodkan dalam video tular pada Isnin.
Aksi tersebut dirakam dilakukan seorang penunggang motosikal di Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR) berdekatan persimpangan keluar Puncak Alam, Selangor.
Video berdurasi 21 saat itu menyaksikan seorang penunggang motosikal melakukan aksi 'Superman' dengan memotong kenderaan lain ketika berada di lorong kanan jalan.
Pada masa sama, terdapat dua buah motosikal dilihat turut berada di lorong sama.
Tarikh pada video tersebut memaparkan klip itu dirakam pada Ahad kira-kira sekitar pukul 2 petang.
Superman di Lebuhraya Latar.
Sumber: Eng Seang pic.twitter.com/6Mdddfl9g0
— MYNEWSHUB (@mynewshub) June 5, 2023
Selain membahayakan diri sendiri, perbuatan tersebut dilihat juga membahayakan pengguna lain termasuk penunggang motosikal lain.
Dalam kejadian di George Town, Pulau Pinang pada Ahad, seorang remaja berusia 18 tahun yang dirakam membuat aksi 'Superman' itu maut di tempat kejadian selepas merempuh sebuah kereta di simpang lampu isyarat di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram