SEORANG lelaki yang melakukan aktiviti pendakian bersama isterinya di Gunung Lambak, Kluang Johor pengsan secara mengejut ketika berada pada paras ketinggian 800 meter sebelum dilaporkan meninggal dunia pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, insiden itu berlaku kira-kira pada pukul 9 pagi membabitkan mangsa, Tew (Teo) Wei Peng yang berusia 50 tahun.
Katanya, pihak polis menerima laporan mengenai kejadian itu daripada isteri mangsa, Ko Meh Cheng, 50 yang turut bersama-sama mendaki gunung berkenaan.
“Menurut isteri mangsa, mereka dalam perjalanan mendaki pada ketinggian 800 meter dengan si mati ada mengadu sakit dada sebelum tiba-tiba terus jatuh pengsan.
“Bantuan awal pernafasan diberikan petugas hospital yang turut hadir mendaki gunung secara kebetulan berhampiran di lokasi si mati pengsan,” katanya dalam satu kenyataan.
Bahrin berkata, mangsa dilaporkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di dalam ambulans yang sedang cuba mengejarkannya ke ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang Johor.
Menurutnya, kes tersebut dikategorikan sebagai mati mengejut dan semakan mendapati mangsa tidak memiliki sebarang rekod kesihatan.
Dalam kejadian tersebut, seramai seramai 10 anggota dari Pasukan Bomba dan Penyelamat Kluang dikejarkan ke lokasi pada pukul 9.12 pagi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kluang, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Fauzi Mohd Nor berkata, selepas memberikan bantuan awal pernafasan, mangsa berjaya dibawa turun ke kaki Gunung Lambak kira-kira pada pukul 11 pagi.
Katanya, pasukan bomba kemudiannya menyerahkan mangsa kepada pihak ambulans untuk diambil tindakan selanjutnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram