PEMBENTUKAN ais dilaporkan kembali berlaku di puncak Gunung Kinabalu, Sabah selepas kawasan tersebut merekodkan paras suhu di bawah sifar.
Menurut laman Facebook Taman Sabah, suhu antara -3 dan -5 darjah celcius direkodkan di puncaknya antara 2.30 pagi dan 7 pagi Sabtu.
Ia berkata, paras suhu tersebut menyebabkan proses pembekuan cecair pada batu dan pokok serta seterusnya membentuk serpihan ais serta sedikit salji.
Fenomena itu boleh ditemui dari hentian pit terakhir sebelum pendakian ke Puncak Low, iaitu di pencawang Panalaban yang berada di ketinggian lebih 3,200 meter(m) di atas paras laut, sehingga ke titik puncak.
“Permukaan pada batu granit menjadi licin kerana pembentukan ais ini. Semoga semua pendaki berhati-hati sepanjang pendakian dan proses turun dari gunung.
Antara pembentukan salji yang dirakamkan berlaku di kawasan puncak Gunung Kinabalu pada Sabtu. — Facebook
“Setakat ini semua aktiviti pendakian berjalan lancar dan terkawal. Tiada kecemasan atau kemalangan dilaporkan,” menurut Taman Sabah.
Pada masa sama, ia menambah bahawa kemungkinan penyakit gunung akut (AMS) lebih tinggi semasa cuaca sejuk.
Hantaran itu menarik perhatian warganet, dengan ada yang melaporkan kesejukan turut dirasai di kaki gunung tersebut.
"Tidak hairanlah ia sangat sejuk di rumah kami di Kampung Kiau Teburi, terdapat ais di atas sana (di atas gunung)," kata Rossiti Karim, merujuk kepada salah satu kampung di kaki bukit.
Mat Adie Rxs pula memberi nasihat kepada pendaki serta pengantara supaya lebih berhati-hati ketika naik dan turun dari gunung setinggi 4,095m itu.
Fenomena pembentuka ais ini bukan kali pertama berlaku di Gunung Kinabalu kerana ia dilaporkan hampir setiap tahun sebelum ini, terutamanya semasa musim kemarau, pada awal tahun.
Antara pembentukan ais yang dirakamkan di kawasan puncak Gunung Kinabalu pada Sabtu. — Facebook
Pada Februari lalu, beberapa pendaki berkongsi beberapa foto dalam talian pembentukan ais berikutan suhu yang sama direkodkan di puncak.
Namun begitu, Brandon Young yang telah mendaki gunung itu beberapa kali berkata, ia masih menyeronokkan untuk mempunyai ais dan salji di Gunung Kinabalu.
"Anda perlu pergi jauh hanya untuk melihat perkara sedemikian, jadi mengapa tidak ia ada di halaman rumah kami sendiri, walaupun hanya berlaku pada masa-masa tertentu dalam setahun untuk tempoh yang singkat," kata pemilik restoran itu. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram