SEORANG pemandu lori merempuh sebuah kereta yang diparkir di hadapan bengkel di Kawasan Perusahaan Tandop Baru, Alor Setar, Kedah sekitar pukul 12.52 tengah hari pada Ahad.
Menurut sumber awam, pemandu berkenaan dipercayai mengalami serangan jantung sebelum gagal mengawal lori yang dipandunya hingga melanggar kenderaan tersebut.
Kejadian yang dirakam menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) itu dimuat naik di media sosial pada Isnin.
Bunyi kuat yang dihasilkan akibat perlanggaran kedua-dua kenderaan itu mengejutkan beberapa orang awam yang berada di bengkel tersebut.
Mereka kemudian dilihat bergegas ke lokasi kejadian.
Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan media dikeluarkan oleh polis di daerah berkenaan.
Rata-rata warga maya yang melihat video tersebut menyatakan, sebelum ini memang terdapat banyak kes kemalangan membabitkan pemandu diserang sakit jantung ketika memandu hingga memudaratkan pengguna jalan raya lain.
"Sekarang ni memang ketara kes kena serangan jantung masa memandu atau masa riadah," kata Nizam.
"Nak salahkan mereka tak boleh juga, siapa sangka akan dapat (serangan) jantung semasa memandu. Tapi memang agak bahaya dekat orang lain bila jadi macam ni," tulis Elisah96. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram