[VIDEO] 'Dua kali dalam masa 3 bulan', peniaga 'frust' penapis udara asyik kena rembat di Puncak Alam


  • Tular
  • Sabtu, 03 Jun 2023

Tangkap layar video memaparkan suspek memakai topi keledar cuba mengumpil kabinet di kios dalam sebuah pasar raya di Puncak Alam pada Jumaat.

RUTIN pekerjaan staf yang menjaga sebuah kios terganggu apabila sebuah penapis udara dicuri oleh individu di sebuah pasar raya di Puncak Alam, Selangor pada pagi Jumaat.

Pengurus kios tersebut, Muhamad Ashrafi Anuar memaklumkan kejadian yang berlaku kira-kira pukul 8.38 pagi Jumaat dirakam menerusi kamera litar tertutup di kios berkenaan ketika dua pekerjanya masih belum berada di lokasi kejadian.

Menurutnya, suspek yang ketika itu memakai topi keledar pada asalnya cuba mengumpil kabinet di premis tersebut, namun gagal.

"Saya tak pasti apa yang cuba diambilnya, tapi dia gagal mengumpil kabinet tersebut kerana ia berkunci dengan baik.

"Jadi dia mengambil penapis udara yang berada di dalam kios tersebut," katanya kepada Majoriti pada Sabtu.

Sementara itu, Muhamad Ashrafi berkata, nilai kerugian akibat kecurian penapis udara tersebut adalah bernilai RM3,200.

Malah katanya, kejadian melibatkan kecurian barangan elektrik tersebut turut berlaku pada tiga bulan lalu dengan melibatkan kos kerugian sebanyak RM2,300 sekali gus menjadikan nilai kerugian hampir RM6,000.

Tambahnya, lokasi kios berkenaan yang berada dekat dengan pintu masuk pasar raya tersebut menjadikan ia terdedah kepada risiko kecurian.

"Saya dah maklumkan kepada pihak pengurusan pasar raya tersebut supaya tindakan selanjutnya boleh diambil.

"Setakat ini saya buat laporan polis di Balai Polis Saujana Utama dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh," katanya.

Setakat berita ini ditulis, pihak polis masih belum mengeluarkan apa-apa kenyataan berhubung kes tersebut.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram