Isu Kedah-Pulau Pinang, Sanusi 'minta' Rayer buat 100 laporan polis


  • Primer
  • Sabtu, 03 Jun 2023

Rayer (kanan) membuat laporan polis berhubung kenyataan Muhammad Sanusi (kiri) yang menyatakan Pulau Pinang adalah milik Kedah.

MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tetap dengan pendiriannya tentang kenyataan berhubung Pulau Pinang milik Kedah yang dikatakan sebelum ini dan bersedia untuk dihadapkan ke mahkamah.

Beliau menerusi satu video tular dalam satu sidang media memaklumkan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer yang membuat laporan polis berkenaan kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu sebagai buta sejarah dan tidak tahu apa-apa.

"Bayaran pajakan dibayar oleh Kerajaan Persekutuan bagi pihak Pulau Pinang, RM10 juta ditambah RM10,000 kepada Kedah sebagai bayaran pajakan Pulau Pinang kepada Kedah.

"Kalau tidak dipajak, bayar buat apa? Rayer itu buta sejarah, tidak tahu apa, pergi lapor polis 100 kali pun saya tidak peduli, fakta macam itu, beritahu dia pergi lapor 100 kali lagi," katanya menerusi satu video tular ketika menjawab soalan daripada wartawan pada Sabtu.

Pada Selasa, tular satu sedutan video memaparkan Rayer membuat laporan polis terhadap Pengerusi PN Kedah itu berhubung dakwaan mengatakan Pulau Pinang dipajak dari negeri berkenaan.

Laporan tersebut dibuat oleh Ahli Parlimen Jelutong selepas mendapat saranan daripada Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng sebagai suara rakyat Pulau Pinang amnya.

Guan Eng menerusi video tersebut berkata, laporan dibuat untuk mempertahan dan membela kedaulatan negeri Pulau Mutiara tersebut.

"Kenyataan Menteri Besar Kedah ini berbahaya dan bersifat hasutan dan beliau sedar ia tidak berperlembagaan," katanya.

Media sebelum ini melaporkan Muhammad Sanusi menegaskan bahawa Pulau Pinang adalah milik negeri tersebut.

Katanya, Kedah hanya mempunyai sempadan negeri dengan Perak dan Perlis sahaja. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram