Tiga sekawan guna taktik 'COD' rompak penjual telefon di Kampung Baru


  • 112
  • Sabtu, 03 Jun 2023

Mangsa dan dua orang rakannya bertemu suspek di Kampung Baru, Kuala Lumpur pada 30 Mei lalu . — Kredit Foto/Bloomberg

POLIS mendedahkan modus operandi baharu sekumpulan perompak yang bertindak memperdaya seorang penjual telefon di Kampung Baru, Kuala Lumpur semasa sesi cash on delivery (COD).

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, mangsa telah berhubung dengan salah seorang suspek menerusi media sosial berhubung penjualan dua telefon pintar.

Menurutnya, perompak tersebut bagaimanapun menipu mangsa dengan mengatakan bahawa dia ingin membuat pembayaran telefon pintar yang ditempahnya melalui kaedah COD.

“Mereka kemudian bertemu pada 30 Mei lalu di Kampung Baru pada jam 11.26 malam. Mangsa pergi bersama dua rakannya.

“Suspek meminta mangsa menyerahkan telefon, namun apabila mangsa meminta bayaran, suspek telah menghalakan objek seperti pistol ke arah mereka,” katanya pada Jumaat.

Noor Dellhan memaklumkan, suspek melarikan diri dari tempat kejadian bersama rakannya yang sedang menunggu di sekitar kawasan berkenaan dengan motosikal.

Tambahnya, suspek juga membawa bersama telefon pintar tersebut yang dianggarkan berharga RM5,000 hingga RM6,000.

“Laporan dibuat pada 31 Mei pukul 4.58 pagi dan sepasukan polis telah melancarkan operasi memburu suspek.

“Dalam tempoh 24 jam, tiga suspek ditahan dengan dua ditemui di dalam sebuah rumah di Hulu Langat, Selangor dan seorang lagi di Skudai, Johor.

“Suspek di Johor bersembunyi di rumah saudaranya,” jelasnya.

Tambah beliau, seorang daripada mereka dipercayai pemilik nombor telefon yang digunakan untuk berhubung dengan mangsa.

Katanya, dua daripada suspek dilaporkan mempunyai kes jenayah sebelum ini.

"Polis turut merampas senapang galas bebola. Dipercayai ‘pistol’ itu dibeli secara dalam talian dua hari sebelum rompakan,” katanya.

Noor Dellhan berkata, ini adalah kali pertama taktik sedemikian digunakan dalam rompakan di daerah ini.

"Ketiga-tiga suspek berusia antara 24 hingga 26 tahun itu ditahan reman sehingga Isnin ini," jelasnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram