CUBAAN pemandu Iswara Aeroback untuk memotong sebuah lori di Jalan Kulai-Inas, Johor gagal apabila kenderaan tersebut berselisih dengan kereta model Nissan berwarna merah sehingga cermin sisinya tercabut pada petang Khamis.
Ia dirakam menerusi kamera papan pemuka (dashcam) milik pengguna Facebook Shafar Mohamad yang berada di belakang kereta mangsa semasa insiden.
Menurut Shafar Mohamad, dia turut kesal dengan pemandu Iswara Aeroback yang terus meninggalkan lokasi selepas melanggar kereta tersebut di lokasi kejadian.
"Di situ juga dia nak memotong, mujur tak kena saya. Dah salah, pergi macam itu sahaja."
"Saya tengok keadaan kereta depan itu boleh bergerak, jadi saya gerak (meninggalkan lokasi) sebab kawasan itu bahaya berhenti tengah jalan," katanya pada Khamis.
Tambah Shahfar Mohamad, dia memuat naik video tersebut di Facebook untuk membantu mangsa jika dia ingin membuat laporan polis berkenaan insiden tersebut.
Menjengah ke ruangan komen, warganet turut berang dengan kelakuan pemandu Iswara Aeroback tersebut memandu laju di laluan dua hala yang sempit itu.
"Ya ALLAH moga dipermudahkan segala urusan, seramlah. Kadang-kadang kita bawa (pandu kereta) berhati-hati, orang lain pula buat hal," kata Rasidah Yahya.
"Selain lembu, driver yang macam ini pun perlu diberi perhatian. Berhati-hatilah," kata Mmuunnjj Kong
Belum ada sebarang kenyataan daripada polis berhubung insiden itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram