SEORANG suami berputih mata selepas topi keledar yang baru diterima sebagai hadiah daripada isterinya sempena hari lahir ke-34 pada Disember lalu dicuri di Sungai Petani, Kedah pada petang Jumaat.
Isterinya, Rosfalinda Rosli, 35, berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 3 petang ketika suaminya singgah ke kedai telefon berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aman Jaya, Sungai Petani, Kedah untuk membeli kad tambah nilai kredit telefon anaknya.
Menurut Rosfalinda, topi keledar tersebut ditinggalkan atas motosikal yang kemudiannya dicuri oleh seorang penunggang motosikal sebaik sahaja suaminya masuk ke dalam kedai berkenaan.
"Tidak sampai dua minit masuk ke dalam kedai, dia toleh ke belakang dan nampak kelibat penunggang motosikal melarikan helmet itu," katanya kepada Majoriti pada Jumaat.
Sementara itu, Rosfalinda berkata, topi keledar jenama Arc Ritz berwarna biru berharga RM280 dibeli untuk suaminya hasil titik peluh bekerja sebagai pembantu kantin.
Katanya, dia turut membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Petani, Kedah untuk menjejak pencuri tersebut.
Setakat berita ini ditulis, masih tiada laporan daripada pihak polis berkenaan kes tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram