[VIDEO] Kempen Tiada Beg Plastik diperluas secara berperingkat menjelang 2025


  • Primer
  • Selasa, 09 Mei 2023

Kempen Tiada Beg Plastik bertujuan menangani isu pencemaran sisa plastik sekali guna di Malaysia.

KERAJAAN sedang mengorak langkah memperluas Kempen Tiada Beg Plastik yang kini dilaksanakan di semua premis tetap kepada semua premis perniagaan secara beransur-ansur dalam tempoh 2022 hingga 2025.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kempen tersebut yang dilaksana di bawah tanggungjawab kerajaan negeri merupakan satu daripada pelan jangka panjang kerajaan dalam menangani isu pencemaran sisa plastik sekali guna di Malaysia.

"Antara negeri menjalankan kempen berkenaan ialah Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Negeri Sembilan,” katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran MADANI Reusable Bag dan Kempen Tanpa Beg Plastik di 99 Speed Mart, pada Selasa.

Terdahulu, Nik Nazmi dalam ucapannya mengucapkan tahniah kepada pihak pengurusan 99 Speed Mart yang tidak lagi membekalkan beg plastik kepada pengguna di semua cawangannya dan memperkenalkan MADANI Reusable Bag berharga RM2 yang boleh ditukarkan baharu sekiranya rosak.

PUTRAJAYA, 9 Mei -- Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad ketika sidang media bersama Menteri Ekonomi Rafizi Ramli mengenai Hala Tuju Pembangunan Strategik Tenaga Boleh Baharu dan Dasar Perdagangan Tenaga Boleh Baharu di Wisma Sumber Asli, hari ini.--fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Nik Nazmi berkata, pihaknya sedang memantau rapat di kawasan yang terkesan akibat cuaca. — Bernama

Sementara itu, Nik Nazmi berkata, kementerian bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan akibat cuaca panas dan kering yang dijangka melanda negara sehingga Ogos ini.

Beliau berkata, pihaknya sedang memantau rapat kawasan yang terkesan akibat cuaca berkenaan terutamanya di negeri di bahagian utara Semenanjung membabitkan isu seperti masalah bekalan air, pembakaran di tanah terbuka dan kebakaran di tanah gambut.

Menurutnya, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) selaku badan pengawalseliaan kebangsaan untuk industri air dan pembentungan, mengadakan perbincangan dengan operator air di seluruh negara bagi memastikan bekalan air cukup di setiap negeri.

"Jadi buat masa ini, SPAN sedang pantau untuk pastikan kita dapat uruskannya dengan sebaik mungkin, tetapi memang pelan itu sudah ada dan diketahui operator-operator air sendiri

Katanya, di kawasan utara terutamanya mengalami cuaca kering, namun jika mengikut ramalan akan sampai ke seluruh Semenanjung serta Sabah dan Sarawak.

"Tapi kita tengok dalam beberapa minggu ini di Lembah Klang, hujan masih turun, namun kita akan terus pantau dan lihat pada ramalan Jabatan Meteorologi,” katanya.

Dalam pada itu, mengenai kegiatan orang awam mengambil air dari dalam tanah, beliau berkata, perkara itu harus dipantau memandangkan sumber air tersebut mungkin terkandung bahan logam tinggi yang boleh menjejaskan kesihatan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram