TIDAK dapat dibayangkan luluhnya hati seorang suami apabila kepulangannya dari pejabat ke rumah 'disambut' oleh isteri yang sudah meninggal dunia selepas empat hari melahirkan anak mereka di Sabah pada awal Mei lalu.
Kisah sedih tersebut dikongsikan menerusi akaun Facebook Exly Jailon mendakwa majikannya hanya memberikan sebanyak dua hari cuti bersalin untuk menjaga isterinya.
Walaupun tidak berpuas hati dengan keputusan itu, dia tetap terus bekerja demi komitmennya terhadap kerjaya dan menyara keluarga.
"Masa wife saya beranak kamu suruh juga datang kerja, bila wife saya meninggal baru kamu senang-senang cakap kami turut bersedih dgn pemergian isteri kamu.
"Cakap sahaja bagi cuti tanpa gaji, saya boleh terima. Saya ini terpaksa bekerja demi komitmen. (Tapi) saya balik kerja, wife sudah tidak bernyawa," katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Walau masih meratap pemergian mendiang isterinya hingga kini, Exly reda dengan ketentuan Tuhan dan akan menjaga anaknya yang diberi nama Erol Erando sebaiknya.
"Saya hanya mampu pasrah dengan keadaan dan hanya mampu berdoa untuk sayang di atas sana, saya berjanji akan menyayangi anak kita seperti mana sayang meyayangi dia.
"Saya tahu sayang sentiasa merindui kami berdua," katanya.
Dalam pada itu, kisah pilu Exly yang tular di media sosial turut mengundang pelbagai reaksi daripada warganet yang turut mengecam tindakan majikan tersebut.
"Sabah guna Ordinan Buruh Sabah, same goes to Sarawak, mereka guna Ordinan Buruh Sarawak tapi apa pun bergantung dekat bos juga.
"Tak akan tak ada ihsan langsung orang tu isteri nak bersalin," ciap @xyrm33y4.
Bukan hanya di Sabah, rupanya salah seorang warganet di Twitter dengan nama @_blueanemone mendedahkan pengalaman di tempat kerja suaminya di Seri Kembangan, Selangor yang turut mendapat hanya dua hari cuti bersalin.
"Tempat kerja suami pun dapat dua hari cuti bersalin. Itu pun suami ambil cuti tahunan untuk beberapa hari selepas saya bersalin.
"Ingatkan syarikat dia bagi tujuh hari cuti bersalin untuk suami jika isteri bersalin. Ini dua hari (cuti bersalin), terkejut juga. Padahal bukan kerja di Sabah macam kes orang ini," katanya.
Belum ada sebarang kenyataan balas dikeluarkan secara rasmi oleh majikan Exly setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram