'Ada campur tangan pihak ketiga', Md Nasir cadang CEO Finas bukan lantikan politik, jalani proses temu duga


  • Massa
  • Khamis, 01 Jun 2023

Md Nasir semasa sidang media khas yang ditayangkan secara langsung di Facebook pada Khamis.

PENAMATAN kontrak Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Profesor Dr Md Nasir Ibrahim pada Khamis merupakan pengumuman yang mengejutkan oleh kerana beliau sendiri tidak menerima sebarang makluman daripada Ahli Lembaga Pengarah agensi tersebut sebelum ini.

Menurutnya, tindakan yang diambil ke atasnya tidak adil dan mencadangkan lantikan pemimpin tertinggi agensi tersebut perlu dibuat secara temu duga pada masa akan datang bagi mengelakkan masalah sama berulang.

"CEO (baharu) seharusnya bukan lantikan poltik, tapi patut ditemu bual oleh panel yang bertaraf antarabangsa, berpengalaman dan bagus dari segi pentadbiran.

"Ramai panel lagi bagus, kerana kalau lantikan politik belum tentu bagus," katanya dalam sidang media khas secara langsung di Facebook pada Khamis.

WhatsApp Image 2023-06-01 at 9.49.13 AM

Dokumen penamatan perkhidmatan Md Nasir bertarikh 31 Mei 2023 yang tular di media sosial.

Mengulas lanjut tentang pemberhentian tugas beliau, Md Nasir tidak menafikan ada tangan ghaib yang mempengaruhi keputusan pihak tertinggi agensi berkenaan kerana merasakan dirinya dizalimi.

Md Nasir berkata, beliau sepatutnya diberikan peluang untuk membela diri jika terdapat sebarang isu berbangkit sepanjang kendaliannya selama setahun tujuh bulan itu.

"Pihak atasan perlu perhalusi (masalah), bagi peluang (kepada saya), jangan buat keputusan tiba-tiba yang dianggap tidak adil dan pihak yang menjadi mangsa itu mungkin tidak bersalah.

"Semasa di Finas, saya sentiasa bertanya kepada banyak pihak sebelum membuat satu-satu keputusan. Jadi dalam kes ini, saya serahkan kepada ALLAH jika saya yang bersalah, saya terima," katanya.

Dalam perkembangan lain, Md Nasir berkata ingin berehat sebentar daripada industri perfileman, namun akan tetap melontarkan idea jika perlu.

Pada Khamis, Md Nasir, 64, ditamatkan perkhidmatannya secara rasmi pada Khamis lima bulan lebih awal daripada kontrak asal.

Md Nasir dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Finas pada 31 Oktober 2021 dalam tempoh dua tahun yang berkuat kuasa bermula 1 November, tahun itu sehingga 30 Oktober 2023.

Pelantikannya menggantikan Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang sebelum ini menyandang jawatan tersebut selepas kontraknya tamat pada 15 Oktober 2021. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram