[VIDEO] Ah long dalang kejadian rampas kereta di Butterworth, rupanya ibu janji serah jika gagal bayar pinjaman


  • 112
  • Jumaat, 02 Jun 2023

Tangkap layar memaparkan tindakan sekumpulan lelaki yang bertindak merampas kenderaan mangsa di Butterworth, Pulau Pinang pada Rabu.

KEJADIAN pergelutan melibatkan sekumpulan lelaki yang bertindak merampas sebuah kenderaan daripada seorang individu di Butterworth, Pulau Pinang pada Rabu dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket ah long.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata, pihaknya telah menahan tiga lelaki dipercayai diupah ah long bagi merampas kenderaan terbabit.

Katanya, tangkapan itu dibuat susulan video tular yang memaparkan mengenai insiden tersebut.

"Semakan mendapati, kejadian berlaku di persimpangan lampu isyarat kawasan Mak Mandin, Butterworth, Pulau Pinang kelmarin (Rabu), dan satu laporan polis dibuat mangsa pada hari kejadian.

"Berikutan itu, polis menjejaki suspek sebelum membuat penahanan ke atas kesemua suspek.

"Dalam serbuan itu, polis merampas sebuah kereta dan pakaian yang dipakai oleh ketiga-tiga suspek. Ketika ditahan, kesemua suspek berada di bawah pengaruh dadah," katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Asri berkata, siasatan lanjut ke atas suspek mendapati mereka diupah oleh seorang pemberi pinjaman wang untuk merampas kereta mangsa.

"Dalam kejadian ini sebenarnya, ibu mangsa berusia 57 tahun membuat pinjaman wang berjumlah RM100,000 pada tiga tahun lalu dengan seorang pemberi pinjaman wang (ah long).

"Ibu mangsa bersetuju menyerahkan kereta anaknya melalui satu perjanjian bertulis sekiranya gagal membayar pinjaman berkenaan," ujarnya.

Mohd Asri berkata, kegagalan ibu mangsa membayar pinjaman itu menyebabkan kereta terbabit yang difahamkan dimiliki anaknya dirampas seperti yang berlaku dalam video tular terbabit.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram