[VIDEO] Pemandu Mercedes sanggup korbankan kereta mewah kejar peragut di Pulau Pinang


  • Tular
  • Jumaat, 12 Mei 2023

Tangkap layar kejadian orang awam berjaya menggagalkan percubaan seorang lelaki meragut seorang wanita di sebuah jalan raya di Pulau Pinang.

TINDAKAN pantas orang awam berjaya menggagalkan percubaan seorang lelaki meragut seorang wanita di sebuah jalan raya di Pulau Pinang baru-baru ini menerima pujian ramai.

Menerusi video satu video dimuat naik di laman Twitter Jalal Misai pada Khamis memaparkan suspek memakai jaket biru hitam dilihat terduduk di tepi jalan dan dikerumuni polis trafik serta orang awam.

"Berani betul pemandu Mercedes itu kejar dan langgar motosikal peragut," tulisnya.

Difahamkan,pemandu kereta mewah tersebut sanggup mengorbankan keretanya mahalnya semata-mata mengejar suspek yang cuba melarikan diri menggunakan motosikal selepas meragut seorang wanita tidak jauh dari lokasi tersebut.

Pada masa sama, Jalal Misai turut bersetuju dengan tindakan pemandu kereta mewah tersebut.

"Bukan soal duit, tapi melibatkan keselamatan orang awam. Jika dibiarkan, akan ada mangsa diragut lagi selepas ini dan mungkin boleh membawa kepada kematian mangsa," katanya.

Dalam video tersebut turut kedengaran suara seorang lelaki yang dipercayai pemilik kenderaan mewah berkenaan menerangkan situasi tersebut.

"Nak samun sangat, tak kan la saya saja nak langgar. Itu mangsa dia," katanya sambil menghalakan kameranya ke arah dua orang wanita.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya memberikan pendapat yang berbeza selepas melihat video berkenaan.

Seorang warganet, Sj Berkz Zerg tidak bersetuju dengan tindakan pemandu berkenaan walaupun dia mempunyai niat yang baik.

"Perbuatan menghukum sendiri ini bukan baik, pada dasarnya nampak baik tapi bila berleluasa, negara hilang sistem.

"Apabila hilang sistem caca marba. Berbalik kepada konsep asas, niat tidak menghalalkan cara," katanya.

Pendapat Sj Berkz Zerg itu turut dipersetujui AAron_TwitLo.

" Niat tidak menghalalkan cara dan tidak perlu disanjung perbuatan seperti ini. Bayangkan kalau peragut itu mati, sudah boleh dikira membunuh dengan niat.

"Kereta memang boleh beli tetapi nyawa? Ini bukan filem tetapi realiti," katanya.

Sementara itu, Apish berkata, kejadian tersebut patut dijadikan pengajaran dan memuji tindakan pemandu berkenaan.

" Aku respect pemandu Mercedes ini. Sanggup korbankan kereta dia, banyak yang kita belajar daripada video ini sebenarnya.

"Semoga penjenayah di luar sana terbuka mata, orang awam pun boleh jadi hero. Syabas, anda menjalankan tanggungjawab sebagai netizen yang baik," tulisnya.

Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan media yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram