[VIDEO] Lelaki meraung Axia kena 'rembat' di lampu isyarat tapi ramai syak geng tarik kereta buat kerja


  • Tular
  • Khamis, 01 Jun 2023

Tangkap layar pergelutan melibatkan seorang pemandu dan dua individu lelaki yang bertindak ganas di lampu trafik dekat Sungai Puyu, Butterworth, Pulau Pinang.

SEORANG lelaki berhadapan detik getir apabila kenderaannya disamun dan dirampas dua pemuda ketika berhenti di lampu trafik dekat Sungai Puyu, Butterworth, Pulau Pinang pada Rabu.

Ketika kejadian, lelaki berbaju biru dan berseluar putih itu terlebih dahulu didatangi dua individu di bahagian pintu pemandu sebelum salah seorang daripadanya bertindak melarikan kereta jenis Perodua Axia terbabit.

Meskipun cuba mendapatkan pertolongan daripada orang awam di laluan berkenaan, rayuan mangsa tidak diendahkan oleh sesiapa dan kedua-dua pemuda itu berjaya meloloskan diri.

Beberapa penunggang motosikal kemudiannya cuba membantu dan mengejar si pelaku namun rakaman berdurasi 58 saat itu berakhir dengan kereta tersebut berjaya dilarikan.

Bagaimanapun, insiden terbabit dipercayai ada kaitan dengan kes tarik kenderaan dengan dua lelaki terbabit dilihat beberapa kali meminta pemandu berkenaan hadir ke balai polis untuk tindakan lanjut.

"Ini mesti kes tarik kereta, boleh dengar 'pencuri' itu kata pergi balai, nampak sangat kes tertunggak bayaran kena selesaikan di balai polis," kata Zamri Basharuddin.

"Kereta kena tarik ni, tapi ganas betul cara dia rampas macam penyamun, itu dah dikira jenayah dan boleh libatkan kemalangan orang awam," ujar Fairul Azmir.

"Kenapa tak ada orang yang nak tolong masa dia merayu, dah la merompak masa tengah hari mustahil tak ada yang nak membantu," jelas Mohd Haikal Nazer.

Belum ada sebarang kenyataan polis berhubung kes itu setakat ini dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta hadir ke balai berhampiran untuk membuat laporan lanjut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram