[VIDEO] Remaja tiada lesen sempat pandu kereta sejauh 4km sebelum ditahan


  • Tular
  • Khamis, 01 Jun 2023

Tangkap layar video tular memapatkan orang ramai menahan remaja tersebut yang didapati memandu tanpa lesen di Bukit Mertajam pada Rabu.

TINDAKAN seorang remaja berusia 13 tahun memandu kereta tanpa lesen membawa padah selepas perlakuannya itu disedari oleh orang awam ketika berada di Jalan Rozhan, Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada Rabu.

Insiden tersebut tular dalam satu video berdurasi 32 saat yang menyaksikan orang ramai bertindak memberhentikan kenderaan jenis Proton Iswara dinaiki remaja berkenaan bersama seorang rakannya yang juga berusia 13 tahun.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, susulan video tersebar itu, pihaknya menahan remaja terbabit dan rakannya itu bersama ibu suspek yang berusia lewat 40-an.

Katanya, hasil siasatan mendapati remaja berkenaan telah memandu sejauh empat kilometer dari kediaman mereka sebelum dikesan oleh orang awam.

”Kita juga sedang mengesan rakan-rakan remaja terbabit yang dipercayai turut sama menaiki kereta itu.

"Selain itu, pihak polis juga menyita kereta yang disyaki digunakan dalam kejadian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Cheng San, kesemua suspek ditahan di hadapan Flat Taman Machang Bubok, Bukit Mertajam pada hari kejadian.

Tambahnya, sebanyak tiga saman dikeluarkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu membabitkan kesalahan Seksyen 26(1) kerana tiada lesen memandu, Seksyen 39(1) kerana memandu di bawah umur.

Jelas beliau, ibu suspek yang juga pemilik kereta disaman di bawah Seksyen 39(5) kerana membenarkan pemandu bawah umur memandu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram