Pandu kereta lawan arus 2km, polis Negeri Sembilan dedah rupanya suami isteri cemas cari bengkel baiki enjin


  • 112
  • Isnin, 15 Mei 2023

Tangkap layar video memaparkan sebuah kereta memandu secara lawan arus di Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH), Negeri Sembilan pada Ahad.

PERBUATAN sepasang suami isteri yang memandu kereta secara melawan arus di Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH), Negeri Sembilan mengundang padah apabila polis bertindak menahan mereka di kediaman pada pukul 2 pagi pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, kejadian tersebut dikesan menerusi rakaman video tular berdurasi 32 saat memaparkan aksi berbahaya itu pada Ahad.

Menurutnya, video berkenaan memaparkan kereta terbabit dipandu secara melawan arus dari Teluk Kemang menghala ke Seremban.

"Bertindak atas maklumat, pada pukul 2 pagi, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson membuat tangkapan terhadap pasangan berkenaan yang terlibat sebagai pemandu dan penumpang, di kediaman mereka," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

"Hasil soal siasat kedua-dua suspek memaklumkan bahawa kenderaan mereka mengalami masalah di bahagian enjin dan bertindak memandu secara melawan arus untuk mencari bengkel bagi membaiki kenderaan tersebut," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu, Aidi Sham turut memaklumkan pasangan terbabit ditahan, manakala sebuah kereta yang dirakam dalam video tular tersebut dirampas untuk tindakan lanjut.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak melanggar peraturan lalu lintas yang membahayakan diri dan pengguna jalan raya yang lain.

"Tindakan tegas akan diambil sekiranya didapati melalukan kesalahan berkenaan," katanya. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram