Bumbung runtuh, KP IKIM digesa beri kerjasama bantu pihak berkuasa jalankan siasatan


  • 112
  • Khamis, 01 Jun 2023

Bumbung dewan IKIM dilaporkan runtuh dan mengakibatkan enam individu cedera ringan ketika kejadian. — Ihsan Bomba

KETUA Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof Madya Dr Mohamed Azam Mohamed Adil diarah supaya memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa untuk menyiasat secara terperinci insiden bumbung dewan yang runtuh pada Rabu.

Perkara itu diluahkan oleh Menteri Hal Ehwal Agama di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar yang berkata, beliau sudah dimaklumkan berkenaan kejadian terbabit yang membabitkan enam kakitangan IKIM.

Beliau juga meminta pengurusan IKIM mengambil langkah keselamatan dengan segera supaya tidak berlaku sebarang insiden tidak diingini.

"Saya mendoakan kakitangan yang mengalami kecederaan itu diberikan kesembuhan serta dipermudahkan segala urusan," katanya melalui satu kenyataan pada Khamis.

2104048

Keadaan bumbung dewan IKIM yang runtuh dan mengakibatkan enam individu cedera ringan. — Ihsan Bomba

Pada Rabu, media melaporkan enam wanita berusia 30 hingga 50 tahun warga tempatan cedera ringan selepas keseluruhan bumbung dewan IKIM di Jalan Duta runtuh dan dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur untuk menerima rawatan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada pukul 11.56 pagi.

Seramai 15 anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Hartamas dan BBP Jalan Hang Tuah telah dihantar ke lokasi kejadian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram