Warga emas ditahan bantu siasatan anak jiran hilang dalam semak di P.Pinang


  • 112
  • Rabu, 31 Mei 2023

Kanak-kanak perempuan yang masih trauma dengan kejadian itu kini dirawat di Hospital Kepala Batas, Pulau Pinang. — Facebook/Komuniti Kepala Batas

POLIS menahan seorang lelaki warga emas bagi membantu siasatan berhubung seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang dilaporkan hilang setelah keluar dari rumahnya di Taman Kuala Muda, Penaga, Pulau Pinang pada 26 Mei lalu sebelum ditemukan selepas 24 jam dalam keadaan lemah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata,

"Berdasarkan risikan, polis menahan lelaki warga emas yang juga tinggal di kawasan kejiranan kanak-kanak tersebut bagi membantu siasatan kes kehilangan mangsa.

"Lelaki itu kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan dan kes tersebut disiasat menurut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001," katanya pada Khamis.

Beliau berkata, kanak-kanak perempuan itu kini masih menerima rawatan di Hospital Kepala Batas dan difahamkan keadaan kesihatan mangsa semakin baik.

Ujar Mohd Asri, setakat ini pihak polis masih belum dapat merekodkan keterangan daripada kanak-kanak perempuan itu kerana keadaannya yang masih trauma dengan kejadian tersebut.

Katanya, selain pemantauan oleh pasukan kesihatan, kanak-kanak itu turut berada di bawah pemantauan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian berkenaan dan kami juga masih menunggu laporan lengkap perubatan kanak-kanak tersebut daripada pihak hospital (untuk lengkapkan siasatan).

"Jika laporan siasatan dan dapatan (siasatan) kita terdapat unsur-unsur lain termasuk jenayah lain, cabul dan sebagainya, polis akan menukar seksyen siasatan berdasarkan hasil siasatan yang dijalankan," jelasnya.

Warga emas itu kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan. — Gambar hiasan

Difahamkan mangsa mengenali lelaki warga emas itu dan kanak-kanak perempuan tersebut ditinggalkan dalam kawasan semak di Permatang Keriang semalaman ketika dilaporkan hilang.

Media sebelum ini melaporkan orang awam telah menemukan kanak-kanak itu di kawasan semak Permatang Keriang, Penaga kira-kira dua kilometer dari tempat mangsa dilaporkan hilang dan pemeriksaan mendapati kecedaraan patah rahang, luka di bahagian dagu serta belakang kepala, lebam di dada dan belakang badan serta patah dua batang gigi.

Kanak-kanak itu dilaporkan keluar dari rumahnya di Taman Kuala Muda, Penaga, pada sekitar 1 tengah hari Jumaat lepas dan didapati tidak pulang ke rumahnya sebelum ditemukan pada 6 petang keesokannya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram