RAKAN subahat kepada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low, Kee Kok Thiam, 56 disahkan meningggal dunia disebabkan serangan strok secara tiba-tiba.
Firma guaman Valen, Oh & Partners yang mendakwa mewakili mendiang Kok Thiam, 56, dan keluarga berkata, suspek dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd itu meninggal dunia di sebuah hospital pada Isnin.
"Kami menggesa semua pihak untuk tidak melayan sebarang spekulasi mengenai kejadian malang ini dan memberi ruang kepada keluarga untuk menzahirkan kesedihan atas pemergiannya,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Majoriti pada Selasa melaporkan Kok Thiam dilaporkan meninggal dunia secara tiba-tiba selepas mendedahkan lokasi Jho Low yang dipercayai berada di Macau, China.
Berita kematian Kok Thiam itu dilaporkan tidak sampai sehari selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan badan tersebut sudah mengetahui lokasi sebenar Jho Low yang merupakan dalang utama dalam skandal kes pengubahan wang haram berhubung skandal 1MDB bernilai RM46 billion.
Kok Thiam sebelum ini pulang ke Malaysia dari Macau pada Mei lalu untuk membantu siasatan berkenaan skandal tersebut.
Menerusi laporan Al-Jazeera, Kok Thiam selepas disoal siasat oleh pihak SPRM kemudiannya dibebaskan tanpa sebarang sabitan dikenakan terhadapnya ketika itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram