SPRM dedah lokasi Jho Low di Macau


  • 112
  • Selasa, 30 Mei 2023

SPRM memaklumkan Jho Low dipercayai berada di Macau, China.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan lokasi terbaharu ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low kini dipercayai sedang bersembunyi di Macau, China.

Perkara tersebut dimaklumkan kepada portal berita Al-Jazeera menerusi jawapan bertulisnya yang bertanyakan berkenaan lokasi terbaharu individu terbabit.

Katanya, pendedahan tersebut dibuat seminggu selepas penahanan salah seorang individu yang dipercayai terlibat dalam kes pengubahan wang haram berhubung skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Kee Kok Thiam.

"Perkara tersebut turut disahkan oleh beberapa individu yang terlihat Jho Low di Macau," katanya.

Pada awal Mei lalu, SPRM menunggu kapal terbang yang membawa Kok Thiam dari Macau, China untuk mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Kok Thiam selepas disoal siasat oleh pihak SPRM kemudiannya dibebaskan dengan tiada sebarang sabitan dikenakan terhadapnya buat masa ini.

Pihak berkuasa di Macau, China apabila disoal tentang Kok Thiam juga enggan mengulas tentang kes yang spesifik, sebaliknya hanya memaklumkan untuk fokus kepada kes berhubung warga asing yang dikendalikan mengikut undang-undang.

Dalam pada itu, SPRM memaklumkan Kok Thiam mengakui bertemu dengan individu-individu lain yang terlibat dalam sknadal 1MDB selain Jho Low iaitu Eric Tan Kim Loong, Casey Tang Keng Chee, Geh Choh Heng and Nik Faisal.

Malah, Jho Low mengarahkannya untuk tidak pulang ke Malaysia sebagai saksi dalam kes 1MDB. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Jho Low, 1MDB, Macau, SPRM, Al-Jazeera, lokasi jho low