Mahkamah tetapkan 11 Julai, permohonan Muhyiddin batal 4 pertuduhan suapan RM232.5 juta


Muhyiddin didakwa menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi Parti Bersatu.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 11 Julai untuk mendengar permohonan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membatalkan empat pertuduhan mendakwa beliau menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menetapkan tarikh itu ketika sebutan kes tersebut pada Rabu yang dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Ahmad Akram Gharib manakala peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik, mewakili Muhyiddin.

Kehadiran Presiden Bersatu itu dikecualikan dalam prosiding pada Rabu.

Terdahulu, Hisyam memaklumkan kepada mahkamah pihaknya memohon tiga hari untuk pendengaran kerana ia membabitkan isu baharu termasuk empat pertuduhan dikenakan terhadap anak guamnya adalah cacat.

"Pihak kami akan mengemukakan hujahan yang panjang," kata peguam itu.

Bagaimanapun, Hakim Muhammad Jamil berkata, satu hari memadai dan beliau menetapkan 11 Julai untuk mendengar permohonan tersebut.

Pada 18 April lepas, Muhyiddin, 76, yang juga Pengerusi Perikatan Nasional, memfailkan notis usul bagi memohon agar beliau dilepas dan dibebaskan daripada keempat-empat pertuduhan dikenakan terhadapnya pada 10 Mac lepas selain prosiding kes tersebut di Mahkamah Sesyen ditangguhkan.

Menerusi afidavit sokongan yang difailkan bersama notis usul itu, beliau mendakwa keempat-empat pertuduhan adalah cacat dan tidak sah di sisi undang-undang.

Muhyiddin, sebagai Perdana Menteri (ketika itu) dan Presiden Bersatu, didakwa menggunakan kedudukan beliau untuk suapan berjumlah RM232.5 juta daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi parti tersebut.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Sementara itu, permohonan Muhyiddin supaya kes menggunakan kedudukannya untuk suapan dan menerima wang hasil daripada aktiviti haram yang dihadapinya dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, akan didengar di hadapan Hakim K. Muniandy pada 10 Julai ini.

Selain empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan, Muhyiddin turut berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Bersatu.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral di sini antara 25 Februari 2021 dan 16 Julai 2021 serta 8 Februari dan 8 Julai 2022.

Ahli Parlimen Pagoh itu juga didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor pada 13 Mac lepas atas satu pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram