[VIDEO] Polis buru suspek rompakan bersenjata larikan peti duit kuanter farmasi di Kota Bharu


  • 112
  • Selasa, 30 Mei 2023

Tangkap layar video memaparkan kejadian rompakan bersenjata di Farmasi Imedikel, Jalan Telipot Kota Bharu, Kelantan pada 25 Mei lalu.

POLIS sedang memburu suspek terlibat kes rompakan bersenjata di Farmasi Imedikel, Jalan Telipot Kota Bharu, Kelantan pada 25 Mei lalu.

Kejadian sekitar pukul 2.30 petang itu tular selepas satu rakaman video berdurasi 32 saat dikongsi di media sosial.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima laporan berkait kes itu kira-kira pukul 3.27 petang pada hari yang sama.

Menurutnya, dalam kejadian itu, suspek yang datang sendirian dan masuk ke dalam farmasi dengan memakai helmet berwarna biru serta memakai pelitup muka telah pergi ke kuanter dan meminta pekerja mengeluarkan wang.

"Dalam masa sama suspek mengeluarkan sabit dan terus menarik peti duit kuanter serta memotong kabel sebelum melarikan diri. Semasa kejadian, tiada pelanggan lain dalam farmasi.

"Siasatan polis melalui rakaman rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek merupakan seorang lelaki, disyaki berbangsa Melayu (berdasarkan loghat bahasa), memakai baju kemeja T warna merah, berseluar panjang dan memakai jaket biru.

"Suspek juga menggunakan motosikal jenis Honda Dash warna oren, berketinggian lebih kurang 170 sentimeter, berkulit gelap dan berbadan kurus," katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.

Tambah Mohd Rosdi, pihak polis sedang giat menjalankan operasi dalam usaha mengesan dan menangkap suspek terlibat.

Jelasnya, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai suspek diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Inspektor Mohd Fadil Shamsur Bahar di talian 012-344755 atau 09-7752200 atau mana-mana balai polis berhampiran.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan yang mana jika disabitkan dengan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan juga boleh dikenakan denda atau sebat.

"Bagi kesalahan Seksyen 397 Kanun Keseksaan, sebatan adalah wajib," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram