[VIDEO] Selit dadah dalam al-Quran, suami isteri ditahan seludup syabu untuk anak saudara di penjara


  • Benua
  • Rabu, 24 Mei 2023

Tangkap layar kitab Al-Quran digunakan sepasang suami isteri yang menyeludup masuk dadah ke Penjara Remaja Madiun, Jawa Timur, Indonesia.

SEPASANG suami isteri ditahan polis selepas didakwa cuba menyeludup dadah ke dalam Penjara Remaja Madiun, Jawa Timur, Indonesia pada Selasa.

Menggunakan modus operandi licik, pasangan terbabit menyorokkan seberat 14.98 gram dadah jenis methamphetamine di dalam sebuah al-Quran ketika mengadakan lawatan ke penjara berkenaan.

Ketua Pejabat Wilayah Kemenkumham Jawa Timur, Imam Jauhari menjelaskan tangkapan itu berjaya dilakukan sekitar pukul 9.30 pagi di lokasi kejadian.

Ia bermula dengan syak wasangka daripada seorang pegawai penjara yang curiga dengan barangan dibawa suspek.

"Suspek wanita terbabit membawa makanan dan al-Quran buat anak saudaranya yang merupakan banduan di penjara berkenaan.

"Terdapat timbunan di bahagian belakang kitab tersebut dan petugas telah mengasingkannya untuk pengesahan," katanya.

Selepas diperiksa dengan teliti, pegawai menjumpai bungkusan serbuk kristal putih yang dibalut dengan plastik jernih dan ia dilekatkan di sepanjang tulang buku al-Quran itu.

"Setelah diperiksa, ternyata serbuk itu mengandungi etaphetamine iaitu sejenis narkotik kristal methamphetamine," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Kakitangan Ardian Nova Christiawan menjelaskan bahawa pihaknya turut menyoal siasat suspek lelaki tersebut.

"Kedua-duanya mengaku tidak bersalah dan mendakwa tidak tahu bahawa kitab berkenaan mengandungi dadah kerana ia diminta oleh anak saudara mereka," katanya.

Jelas suspek, mereka menerima surat pesanan itu pada Khamis di Terminal Purboyo Madiun, Indonesia dan merancang untuk menghantar barangan yang diminta pada hari sama namun, terpaksa ditunda ke Selasa atas sebab tertentu.

Nova berkata, pihaknya segera menghubungi polis untuk proses selanjutnya dan segala bukti serta kedua-dua suspek telah diserahkan kepada pihak berkuasa.

"Ini merupakan tugas kami dalam membanteras kes pengedaran dadah terlarang," tambahnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram