[VIDEO] Pemandu lori positif dadah, berlagak samseng buli Myvi di Lebuhraya Persekutuan


  • 112
  • Sabtu, 27 Mei 2023

Tangkap layar video memaparkan sebuah lori bertindak menghalang sebuah Myvi yang cuba memotongnya dengan mengubah laluan secara tiba-tiba di Lebuhraya Persekutuan berhampiran susur Subang Jaya, Petaling Jaya, Selangor pada petang Khamis.

TAK ubah seperti pembuli jalan raya, polis akhirnya menahan seorang pemandu lori di Meru, Klang, Selangor pada Jumaat.

Suspek terlebih dulu dipercayai bertindak memandu secara melulu dan 'membuli' sebuah Perodua Myvi di Lebuhraya Persekutuan berhampiran susur Subang Jaya, Petaling Jaya, Selangor.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya mengesan suspek menerusi satu video tular memaparkan lori terbabit dipandu secara melulu dengan mengubah laluan dan berhenti secara mengejut.

Menurutnya, hasil siasatan terhadap kejadian yang berlaku kira-kira pukul 5 petang pada Khamis itu berjaya mengesan kedua-kedua pemandu terbabit dan pemandu lori tersebut berjaya ditahan.

"Ujian saringan air kencing terhadap suspek didapati positif dadah methamphetamine.

"Suspek direman lima hari bermula Jumaat sehingga 30 Mei ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Dalam pada itu, Mohamad Fakhrudin memaklumkan polis tidak akan berkompromi kepada individu yang memandu secara merbahaya dan akan mengambil tindakan tegas terhadap pengguna yang melanggar undang-undang.

Beliau turut menasihatkan agar pengguna jalan raya supaya mematuhi undang-undang bagi mengelak sebarang kejadian dan kemalangan.

Pada Khamis, tular sebuah video berdurasi dua minit 59 saat memaparkan sebuah lori bertindak menghalang sebuah kereta Perodua Myvi yang cuba memotongnya dengan mengubah laluan secara tiba-tiba. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram