Kes Rohingya besar kepala di Kulai, polis cekup suspek longgok besi buruk halang jalan


  • 112
  • Sabtu, 27 Mei 2023

Tangkap layar video menunjukkan seorang lelaki dipercayai etnik Rohingya menunjukkan jari tengah kepada salah seorang penduduk yang menegurnya melonggokkan besi buruk di atas jalan raya.

GARA-GARA berkelakuan biadap terhadap penduduk yang menegurnya meletakkan tong besar yang dipenuhi dengan besi buruk di atas jalan raya, seorang lelaki dipercayai etnik Rohingya ditahan di sebuah rumah di Kulai Besar, Kulai, Johor pada pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, pihaknya mengesan suspek menerusi satu video tular pada 8.20 pagi pada Sabtu memaparkan kejadian tindakan disyaki pendatang asing tanpa izin itu mengganggu ketenteraman penduduk di kawasan berkenaan.

Menurutnya, siasatan awal menerusi video berdurasi 19 saat itu mendapati suspek disyaki warga Rohingya itu bertindak menunjukkan jari tengah kepada salah seorang penduduk tempatan kerana marah selepas ditegur tentang longgokan besi buruk yang diletakkan atas jalan raya.

"Bertindak atas maklumat tersebut, anggota polis membuat tangkapan ke atas suspek lelaki warga Rohingya berumur 23 tahun di sebuah rumah di Kulai Besar, Kulai kira-kira pukul 11.30 pagi pada Sabtu.

"Suspek akan direman pada Ahad untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Majoriti pada Jumaat melaporkan tindakan sekumpulan etnik Rohingya meletakkan tong besar yang dipenuhi dengan besi buruk di atas jalan raya mendatangkan kemarahan penduduk sekitar.

Tong yang diletakkan di laluan sempit itu menyukarkan lagi pengguna jalan raya untuk melalui kawasan berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram