[VIDEO] Tak padan sesak dengan pelajar, van sekolah selamba langgar lampu isyarat di Shah Alam


  • Tular
  • Ahad, 28 Mei 2023

Tangkap layar video tular memaparkan tindakan pemandu van sekolah tersebut melanggar lampu isyarat dalam kejadian dipercayai berlaku di Jalan Kebun, Shah Alam pada Jumaat.

TINDAKAN melanggar lampu isyarat mendedahkan pengguna jalan raya kepada risiko yang tidak diingini.

Lazimnya, perkara itu dikaitkan dengan penunggang motosikal yang lebih mudah untuk menyelit di antara kenderaan apabila tiba di persimpangan.

Namun begitu, tular pada Ahad mengenai kejadian sebuah van sekolah berwarna kuning yang bertindak melanggar lampu isyarat yang masih berwarna merah di sebuah simpang jalan agak sibuk.

Lebih membimbangkan, van sekolah tersebut ketika itu sarat dengan pelajar sekolah.

“Pemandu van sekolah yang tidak bertanggungjawab, letakkan nyawa pelajar sekolah dalam bahaya,” tulis Sze Min.

Dalam pada itu, terdapat warganet mencadangkan agar pemandu van sekolah tersebut perlu dikenakan tindakan berat atas kesalahan yang dilakukan itu.

“Patut gantung lesen (memandu) sampai akhir hayat,” kata Faiz Arifin.

Kejadian yang direkodkan daripada rakaman papan pemuka kenderaan (dashcam) itu dipercayai berlaku di Jalan Kebun, Shah Alam, Selangor.

Tarikh pada rakaman tersebut memaparkan kejadian itu berlaku pada Jumaat lalu sekitar pukul 12.48 tengah hari. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram