[VIDEO] Mid Valley terbakar, 2 lorong kiri jalan utama ditutup


  • Tular
  • Rabu, 17 Mei 2023

Kebakaran di Mid Valley, Kuala Lumpur kira-kira pukul 10.50 pagi pada Rabu. — Twitter/ KLCCC DBKL.

SATU kebakaran dilaporkan berlaku di pusat beli-belah terkemuka Mid Valley, Kuala Lumpur kira-kira pukul 10.50 pagi pada Rabu.

Insiden tersebut dirakam melalui televisyen litar tertutup (CCTV) di Pusat Info Trafik dan Kawalan Lampu Isyarat (KLCCC) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

KLCCC DBKL menerusi satu ciapan di Twitter memaklumkan kerja-kerja pemadaman api sedang dijalankan oleh pihak bomba pada ketika ini.

Dua lorong kiri di jalan utama berhampiran lokasi juga dilaporkan ditutup.

Sementara itu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengesahkan kejadian tersebut berlaku pada Pencawang Masuk Utama (PMU) Mid Valley pukul 10.27 pagi pada Rabu.

Pihaknya menerusi satu kenyataan memaklumkan, insiden kebakaran terbabit menyebabkan gangguan bekalan kepada pengguna di kawasan terhad sekitar Mid Valley dan sebahagian Desa Pantai, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, punca kebakaran masih dikenal pasti dan usaha memulihkan bekalan elektrik sedang giat dijalankan.

"TNB mengambil langkah segera untuk pemulihan bekalan dengan sebahagian pengguna terlibat telah mendapat bekalan seawal pukul 10.55 pagi. TNB sedang berusaha memulihkan bekalan kepada pengguna yang masih terkesan.

"Pengguna boleh menghubungi TNB CareLine di talian 15454 untuk maklumat lanjut. Kami memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami oleh pengguna semasa gangguan bekalan ini," katanya pada Rabu. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram