Cikgu di Sabah cadang 10 hadiah yang boleh buat golongan pendidik tersenyum


  • Massa
  • Isnin, 22 Mei 2023

Pemberian elaun internet kepada guru juga dilihat antara berita gembira yang boleh diberikan kepada guru. — Gambar hiasan

BERSEMPENA sambutan Hari Guru pada 16 Mei lalu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan 10 prakarsa buat para pendidik yang bertujuan untuk membantu mengurangkan kos sara hidup, merancakkan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan negara.

Ini termasuklah, KPM dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, (Tourism Malaysia), Kementerian Pengangkutan Malaysia dan beberapa agensi lain akan menyediakan peluang merehatkan minda melalui Program Cuti-cuti Cikgu mampu milik yang diperkenalkan.

KPM juga bersetuju membenarkan dan memberi kelonggaran kepada guru di semua institusi pendidikan bawah kementerian itu untuk memakai baju korporat bagi memberi keselesaan semasa bertugas.

Namun baru-baru ini, seorang guru, Alex Lai yang difahamkan mengajar di salah sebuah sekolah di Kota Kinabalu, Sabah menyuarakan 10 lagi 'hadiah' yang boleh dipertimbangkan oleh KPM sebagai tanda menghargai jasa golongan itu.

Ternyata saranan yang dikemukakan guru berkenaan mendapat maklum balas ramai golongan pendidik yang rata-rata turut menyuarakan pandangan masing-maing.

1. Elaun internet

Tentu sekali umum sedia maklum, internet menjadi antara perkara penting dalam kehidupan seharian pada zaman revolusi teknologi telekomunikasi dan multimedia ini.

Tidak dinafikan, jaringan internet juga berperanaan dalam membantu menambahbaik sistem pendidikan negara khususnya pelaksanaan proses pengajaran dan pembelajaran.

2. Elaun murid bertanding

Tidak hanya terhad di dalam bilik darjah, guru turut ditugaskan membawa anak murid menghadiri pelbagai jenis pertandingan untuk mengasah bakat mereka sejak awal.

Ia juga sekali gus boleh dijadikan sebagai imbuhan atas kerja keras mereka dalam menaikkan nama sekolah.

English teacher Seetha Ilango (standing) guiding her  Class Three Zhong students in designing a logo and cutting out words from the paper to form a slogan during her English period while using newspaper as their tools to teach her students.  14 July 2022 一CHAN TAK KONG/The Star

Tugas seorang guru tidak hanya terhad di dalam bilik darjah. — Gambar hiasan

3. Elaun ketua panitia

Seperti mana ramai maklum, ketua panitia memainkan tanggungjawab untuk merancang dan menentukan tugasan warga pendidik dari semasa ke semasa, termasuk menyediakan rancangan pelajaran tahunan, penggal dan mingguan serta membantu dalam membuat pemilihan jenis-jenis buku dan bahan rujukan untuk Pusat Sumber Sekolah.

4. Elaun pakaian

Inisiatif pemberian elaun pakaian kepada guru juga boleh dipertimbangkan oleh kerajaan untuk masa akan datang.

5. Elaun kepada setiausaha

Peruntukan juga perlu diberikan kepada setiausaha kokurikulum, sukan dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) kerana golongan tersebut bertindak sebagai nadi bagi menggerakkan sesebuah persatuan.

6. Beri kenaikan elaun pengawas peperiksaan awam

Pendidik yang ditugaskan untuk mengawas atau memeriksa peperiksaan awam juga seharusnya menerima kenaikan elaun sebanyak 100 peratus.

Ketika ini ada guru yang mengeluh bayaran elaun tidak lagi relevan dan sesuai dengan zaman sekarang.

Justeru, peningkatan tersebut mampu menarik lebih ramai guru untuk menabur khidmat sebagai pengawas peperiksaan.

7. Beri alat tulis dan komputer riba percuma

Tidak dinafikan, pemberian alat tulis dan komputer riba secara percuma juga dilihat antara ganjaran yang mampu membuat cikgu-cikgu tersenyum. Ini kerana peralatan berkenaan sudah menjadi satu keperluan untuk memberi dukungan proses komunikasi interaktif antara guru dan pelajar.

8. Arahkan sekolah membuat rancangan menulis yang ringkas

Dalam pada itu, KPM juga disarankan agar mengarahkan semua sekolah membuat rancangan menulis yang ringkas dan menamakannya sebagai ringkasan mengajar dan bukan rancangan mengajar seperti semasa latihan mengajar.

9. Jangan buat kerja bertindan

Seterusnya, bagi mengurangkan beban guru di sekolah, KPM perlu mengeluarkan arahan kepada semua sekolah agar tidak membuat kerja-kerja bertindan seperti mengisi markah di templat atau portal berlainan.

10. Kurangkan kerja guru untuk pameran yang tiada impak

Terakhir, sekolah juga perlu mengurangkan beban kerja guru untuk menguruskan persembahan atau pameran yang dikenalpasti tidak memberi sebarang impak positif kepada pelajar mahupun sekolah secara keseluruhannya.

Seperti diduga, cadangan-cadangan guru berkenaan mendapat pelbagai reaksi warganet, antaranya, Sinawati Zain yang menyatakan bahawa pegawai pendidikan seharusnya mendapat fasiliti dan hak keistimewaan sama seperti pegawai kementerian lain.

"Bilik guru haruslah ada pendingan hawa, kerusi meja yang selesa setaraf dengan pegawai kerajaan jabatan lain. Kerajaan boleh minta Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) atau syarikat gergasi untuk memberi sumbangan bagi menaik taraf bilik guru di sekolah yang masih daif.

"Berita ini pasti menggembirakan guru, tapi sayang menteri tak nampak sebab mereka tak pernah duduk sekolah," katanya.

"Terbaiklah cikgu, ini barulah berita yang gembirakan guru. Sebenarnya banyak lagi berita baik bukan 10 sahaja, tetap KPM tak nampak atau memang bersikap ada aku kisah?" ujar Rahimah Ghazali.

"Fadhlina Sidek, mungkin boleh dipertimbangkan sebahagian daripada ini," kata Muhammad Ikhwan Mirza.

"Tak payah buat yang pintas-pintas, Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25), Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) kualiti bagai, minta cikgu mengajar, fokus pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc), fokus anak murid, bagi pandai dan menjadi. Itu sahaja pun objektif anak-anak ini pergi sekolah," jelas Keksah JasmineRose. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram