'Sangat sakit hati', Fazura dan Fattah Amin terkesan, kongsi kisah anak pernah meragam dalam pesawat


  • Hiburan
  • Ahad, 28 Mei 2023

Tangkap layar hantaran di Insta Story Fazura pada Ahad.

BARU-baru ini, tular isu mengenai seorang bapa mengalami detik memalukan ketika menaiki penerbangan sebuah syarikat tambang murah negara selepas anak bongsunya yang baru berusia dua tahun dihalau secara terbuka daripada penerbangan tersebut kerana tidak duduk di kerusi pesawat ketika proses perlepasan.

Video tular itu mendapat perhatian banyak pihak antaranya aktres popular, Fazura yang turut meluahkan kekecewaannya berhubung situasi tersebut.

Malah isteri kepada pelakon dan penyanyi, Fattah Amin itu mengakui pernah berdepan dengan situasi sama di mana cahaya matanya, Nur Fatima Aisya tidak berhenti menangis sewaktu berada dalam pesawat.

"Sangat terkesan dengan isu ni. Sangat sakit hati sebab Faz pun pernah mengalami situasi ini dengan Fatima dulu tapi pihak penerbangan tetap berikan infant belt (tali pinggang keselamatan untuk bayi).

"Kesian baby tu, umur pun lebih kurang Fatima. Mungkin dia takut nak duduk dekat seat sendiri dalam kapal terbang, rasa lebih selamat duduk dengan mommy dia.

"Kasihan sangat! Faz pun faham sangat apa ibu bapa dia rasa. Harap mereka tabah," katanya menerusi hantaran Insta Story pada Ahad.

Fazura bergambar bersama suami, Fattah dan Nur Fatima semasa Hari Raya Aidilfitri lalu. Instagram/Fazura

Pemilik nama sebenar, Nur Fazura Sharifuddin itu menambah, tindakan syarikat penerbangan tersebut yang tidak memberikan kerjasama dengan baik adalah sangat tidak boleh diterima.

"Betul ke baby tu menangis 20 minit berterusan tanpa belas kasihan dan kerjasama daripada pihak penerbangan sehingga keluarga itu diminta keluar pesawat? Simply unacceptable because most of us have love and compassion!" tegasnya.

Majoriti sebelum ini melaporkan, insiden kanak-kanak menangis dalam pesawat itu dikongsikan sendiri pengguna Facebook yang memakai nama Fear Dawooz menerusi hantaran dibuat pada Jumaat.

Menurutnya, kejadian itu berlaku ketika dia bersama, isteri dan tiga orang anaknya dalam perjalanan penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Kedah ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 2 pada Rabu lalu.

Difahamkan, ketika proses berlepas, tiada sebarang masalah berlaku dengan kesemua ahli keluarganya dapat duduk di tempat masing-masing termasuk anak bongsunya itu yang duduk di tempatnya sendiri.

Bagaimanapun, ekoran isu berkenaan, syarikat penerbangan tambang murah Malaysia, MYAirline telah tampil membuat permohonan maaf kepada ibu bapa tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram