SEORANG lelaki pesakit mental dilaporkan maut ekoran kebakaran awal pagi yang berlaku di sebuah rumah dekat Taman Desa Country Homes, Rawang, Selangor.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Wan Mohd Razali Wan Ismail berkata, kejadian tersebut berlaku pada pukul 6.28 pagi Sabtu.
"Dua jentera dan 13 anggota dari Balai Bomba Batu Arang dan Rawang telah dihantar ke lokasi kejadian.
"Mereka tiba pada pukul 6.36 pagi dan mendapati kebakaran telah berlaku di tingkat bawah rumah teres dua tingkat itu, namun berjaya dipadamkan orang awam sebelum anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat tiba di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Beliau berkata, anggota kemudiannya masuk untuk melakukan 'overhaul' bagi memastikan api tidak marak semula.
"Hasil pemeriksaan awal mendapati seorang lelaki warga emas tinggal di rumah itu bersama abangnya yang merupakan pesakit mental.
"Kami menemui mayat lelaki pesakit mental berusia 56 tahun terbabit hangus di salah satu bilik tingkat bawah rumah tersebut,” katanya sambil menambah abangnya yang berusia 65 tahun itu berjaya melarikan diri tanpa kecederaan.
Wan Mohd Razali berkata, punca kebakaran dan anggaran kerugian sedang dalam siasatan.
"Mayat telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram