Isu 'parking' lebih masa, pengguna jalan raya mahu PBT lebih tegas


  • Massa
  • Sabtu, 27 Mei 2023

MPAJ menempatkan 10 tapak parkir di sekitar pusat beli-belah Ampang Point, Ampang sebagai zon tempat letak kereta dua jam.

MAJLIS Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) disarankan untuk memperkemas pelaksanaan zon tempat letak kereta dua jam di 10 tempat parkir kereta berdekatan pusat beli-belah Ampang Point yang dilaksanakan sejak April lalu.

Walaupun penduduk menyambut baik pelaksanaan inisiatif tersebut, namun ramai pengguna dilihat tidak mematuhi masa yang ditetapkan sehingga menyusahkan orang lain untuk mendapatkan tempat letak kenderaan mereka.

Seorang kerani, Zarina Md Zin, 46 berkata hanya berjaya mendapatkan lot parkir kereta pada pukul 10 pagi kerana zon tersebut penuh pada pukul 8 pagi.

Dia yang bekerja di sekitar pusat beli-belah tersebut hanya akan menggunakan zon tempat letak kenderaan berkenaan kerana bayaran untuk parkir di tempat lain lebih mahal.

"Lot yang ditetapkan berguna jika kita mempunyai tugas yang boleh diselesaikan dengan segera. Had masa penggunaan lot tersebut juga boleh dikesan menggunakan aplikasi tempat letak kenderaan," katanya kepada StarMetro.

Sementara itu, Stephanie Lee, 38, berkata, pihak penguat kuasa MPAJ perlu meningkatkan kekerapan rondaan di zon-zon tempat letak kereta dua jam tersebut kerana dia mendapati terdapat kereta yang berada dalam lot parkir tersebut lebih daripada masa yang ditetapkan.

Malah, pemilik-pemilik kenderaan tersebut juga tidak dikenakan sebarang kompaun walaupun melanggar peraturan yang ditetapkan MPAJ.

"Pelanggan-pelanggan yang saya temui di sekitar sini juga sering mengadu tentang kesukaran mendapatkan lot parkir di zon-zon tersebut.

"Namun ia boleh diselesaikan juga pemantauan dilakukan dengan kerap," katanya.

Tinjauan StarMetro di zon-zon tempat letak kereta dua jam dalam kawasan seliaan MPAJ pada waktu puncak mendapati hanya seorang pemandu dapat meletakkan kenderaan di lot parkir tersebut.

Selebihnya kenderaan masih berada di lot tempat letak kenderaan tersebut selepas dua jam, walaupun terdapat papan tanda yang ditanda dengan jelas.

StarMetro telah menghubungi MPAJ untuk mendapatkan ulasan mengenai perkara itu.

MPAJ adalah salah satu daripada beberapa majlis tempatan selepas Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memperkenalkan sistem parkir zon panas di sektor kawasan komersial yang sibuk untuk menambah baik penggunaan ruang letak kereta.

MPAJ berhasrat mengembangkan sistem parkir zon panas dengan 10 tapak di kawasan komersial Taman Melawati pada tahun ini. The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram