Benih patin kurang angkara fenomena El-Nino — Ketua Pengarah Perikanan


  • Primer
  • Sabtu, 27 Mei 2023

Cuaca panas yang melanda negara ketika ini menyebabkan pengurangan benih ikan patin.  — Gambar hiasan

KEADAAN cuaca yang tidak menentu akibat fenomena El-Nino ketika ini merupakan antara faktor yang menyumbang kepada kekurangan benih ikan patin, kata Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain.

Beliau berkata, Jabatan Perikanan (DOF) memandang serius isu kekurangan benih ikan air tawar khususnya patin, dengan beberapa tempat penetasan milik kerajaan di Pusat Pengembangan Akuakultur (PPA) telah berusaha memenuhi permintaan bekalan benih itu dari penternak di seluruh negara.

"PPA Perlok, PPA Bukit Tinggi, PPA Tapah sedang meningkatkan pengeluaran benih ikan patin bagi tahun ini iaitu sebanyak 600,000 ekor bersaiz satu ke dua inci. Pusat ini turut menawarkan bantuan benih secara percuma kepada penternak.

"Pengeluaran benih patin akan menjadi keutamaan bagi tahun 2023 bagi memenuhi permintaan semasa,” katanya dalam kenyataan, sebagai merujuk laporan akhbar tempatan mengenai bekalan ikan patin yang dikatakan makin kritikal.

Adnan berkata, DOF menggalakkan penyertaan nurseri pihak swasta untuk meningkatkan pengeluaran benih menggunakan teknologi ‘bioflok’ yang dapat mengeluarkan benih lebih tahan lasak, kadar hidup lebih 95 peratus dan juga menjimatkan kos pengeluaran.

Beliau berkata penternak juga digalakkan mengambil benih-benih yang bersaiz besar bagi mengurangkan tempoh ternakan dan risiko kematian, yang secara tidak langsung dapat meningkatkan hasil pengeluaran dan keuntungan. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram