[VIDEO] Siasatan PN terima dana judi belum dihentikan — Azalina


  • Primer
  • Jumaat, 26 Mei 2023

Azalina menegaskan jawapan yang diberikan dalam Dewan Rakyat bagi pihak SPRM tidak menyatakan bahawa apa-apa siasatan berkenaan dengan dakwaan berhubung perkara itu telah dihentikan atau digugurkan.

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan siasatan terhadap dakwaan bahawa terdapat parti-parti dalam Perikatan Nasional (PN) yang mendapat sumbangan daripada dana judi semasa kempen Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu masih belum dihentikan.

Beliau berkata, dalam jawapan bertulis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dikemukakan telah menyatakan agensi tersebut telah menjalankan kajian terperinci berkaitan maklumat berkenaan.

"Walau bagaimanapun, SPRM mendapati maklumat terlalu umum dan tiada pihak yang boleh mengesahkan isu ini. Justeru, tiada apa-apa fail siasatan dibuka ke atas isu ini.

"Saya ingin menegaskan bahawa jawapan yang saya berikan dalam Dewan Rakyat bagi pihak SPRM tidak menyatakan bahawa apa-apa siasatan berkenaan dengan dakwaan berhubung perkara ini telah dihentikan atau digugurkan.

"Sebaliknya, SPRM hanya telah menyatakan bahawa tiada fail siasatan dibuka memandangkan maklumat yang telah diperoleh setakat ini adalah bersifat umum," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Media sebelum ini melaporkan, SPRM tidak dapat membuktikan dakwaan bahawa parti PN menerima dana daripada syarikat perjudian untuk berkempen dalam PRU15.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari pada Jumaat dilihat menyindir pimpinan Kerajaan Perpaduan mengenai dakwaan mereka berhubung perkara itu.

SPRM mendapati maklumat terlalu umum dan tiada pihak yang boleh mengesahkan tentang isu tersebut.

Sementara itu, Azalina berkata, dalam hal ini, SPRM sebagai badan yang bebas dan berkecuali tentu sekali akan dan berhak menjalankan siasatan-siasatan berkaitan dan membuka fail siasatan sebagaimana perlu mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 [Akta 694] atau mana-mana undang-undang yang berkuatkuasa berdasarkan pada maklumat dan juga bukti yang diperolehi dari semasa ke semasa.

"Pada masa sama, penting untuk ditegaskan bahawa selain SPRM, terdapat juga agensi-agensi lain yang bertanggungjawab dan berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk menyiasat sebarang kesalahan jenayah yang dilakukan oleh mana-mana entiti.

"Undang-undang Malaysia tidak mempunyai sebarang had masa loremacabra tindakan atas kes-kes jenayah.

"Justeru, adalah tidak wajar untuk mana-mana pihak mempolitikkan atau memutarbelitkan jawapan yang telah saya berikan kepada Ahli Parlimen Pasir Mas dalam Dewan Rakyat berhubung hal ini mahupun membuat tuduhan-tuduhan tidak berasas terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Saya menyeru semua pihak menghormati prinsip rule of law, dan tidak membuat kesimpulan melulu atas jawapan yang diberi di Dewan Rakyat," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram