PRU15: SPRM tidak kesan unsur rasuah terhadap sumber dana parti kerajaan


  • Primer
  • Khamis, 25 Mei 2023

Azalina berkata, siasatan SPRM terhadap parti yang mendapat pendanaan ketika PRU15 sudah selesai. — Bernama

SIASATAN Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati tiada unsur rasuah termasuk membabitkan sumber dana oleh parti daripada kerajaan ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, siasatan badan berkenaan terhadap parti yang mendapat pendanaan ketika PRU15 sudah selesai.

"Siasatan kes telah pun selesai dan hasil siasatan mendapati tiada sebarang unsur-unsur penerimaan rasuah.

"Walau bagaimanapun, jika terdapat mana-mana orang yang mempunyai bukti baharu berhubung perkara ini boleh melaporkan kepada pihak SPRM dan siasatan dan tindakan lanjut sewajarnya akan dijalankan dengan kadar segera mengikut lunas undang-undang yang berkuat kuasa ketika ini," katanya.

Azalina berkata demikian menerusi jawapan bertulis di Parlimen bagi menjawab soalan dikemukakan Tan Sri Abdul Hadi Awang (PN-Marang).

Menerusi soalan tersebut, Abdul Hadi yang juga Presiden PAS meminta penjelasan Perdana Menteri perkembangan siasatan SPRM terhadap parti-parti dalam kerajaan berhubung perbelanjaan ketika PRU15 termasuk sumber dana berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram