
POLIS menahan beberapa pelajar disyaki bergaduh sehingga mendatangkan kecederaan di hadapan sebuah sekolah menengah sekitar kawasan Kempas, Johor Bahru, Johor pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, pergaduhan membabitkan pelajar Tingkatan Tiga itu dipercayai berpunca akibat perselisihan faham.
“Polis Daerah Johor Bahru Utara menerima laporan kes beberapa pelajar sekolah bergaduh hingga mendatangkan kecederaan sekitar jam 3.43 petang Rabu.
“Siasatan polis mendapati kejadian berpunca daripada rasa tidak puas hati salah seorang pelajar yang telah dibaling dengan pemadam pensil oleh rakan sekelasnya dua hari sebelum itu," katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, akibat kejadian tersebut, beberapa pelajar sekolah menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) kerana mengalami luka di kepala serta lebam pada kaki dan tangan.
Susulan kejadian itu, pihak polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara (JBU) telah melakukan beberapa tangkapan dalam kalangan pelajar terbabit.
Balveer berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali hukuman itu, jika sabit kesalahan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram