KJ kecewa KDN beri pengecualian kepada Umno, anggap langkah memalukan


  • Politik
  • Rabu, 08 Mac 2023

Khairy berkata, Fasal 9.3 dengan jelas menyatakan jawatan presiden dan timbalan presiden parti mesti dipilih pada mesyuarat bahagian setiap tiga tahun.

BEKAS Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyifatkan pengecualian diberikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berhubung pertandingan dua jawatan tertinggi Umno adalah 'mengecewakan'.

"Amat memalukan bahawa Menteri Dalam Negeri terpaksa memberi mereka pengecualian hanya supaya Umno dapat melindungi dua pemimpin tertingginya yang kini memegang jawatan presiden dan timbalan presiden. Sebagai bekas orang Umno, saya kecewa dengan langkah ini," katanya.

Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau berkata demikian menerusi hantaran di Instagramnya pada Selasa sebagai respons kepada keputusan Saifuddin.

Pada Selasa, Saifuddin mengesahkan Umno diberi pengecualian di bawah Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) berhubung ketetapan untuk tidak mempertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden yang diluluskan semasa Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 pada Januari lalu.

Umno president Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi delivering his presidential address during the Umno General Assembly 2022 at World Trade Centre on Friday morning. — KAMARUL ARIFFIN/The Star

PAU 2022 baru-baru ini meluluskan usul untuk tidak mempertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden pada pemilihan kali ini.

Khairy kemudiannya menambah, Umno harus mengambil 'langkah pembetulan' dan membuka ruang agar jawatan presiden dan timbalan presiden dipertandingkan dalam pemilihan parti yang sedang berlangsung,

Mengenai surat tular didakwa daripada Pendaftar Pertubuhan (RoS) yang membatalkan usul Umno bagi tidak mempertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden, Khairy berkata surat itu kelihatan sahih dan sah.

Menurutnya, dokumen tersebut jelas menyatakan usul tambahan Umno untuk meninggalkan dua jawatan tertinggi itu tanpa bertanding adalah melanggar Fasal 9.3 perlembagaan parti, menjadikannya tidak sah.

"Ahli Umno telah dinafikan hak mereka untuk memilih presiden dan timbalan presiden mereka," kata Khairy yang juga bekas Menteri Kesihatan.

Jelas beliau, Fasal 9.3 dengan jelas menyatakan jawatan presiden dan timbalan presiden parti mesti dipilih pada mesyuarat bahagian setiap tiga tahun.

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Umno, Khairy Jamaluddin, pemilihan UMNO, KDN, RoS