[VIDEO] 'Kerugian RM4.5 trilion tak masuk akal', KJ dan Shahril senada pertikai kajian rasuah Dr Rais Husin


  • Berita
  • Sabtu, 20 Mei 2023

Tangkap layar sesi 'podcast' antara Khairy Jamaluddin dan Shahril Sufian yang mengulas kajian EMIR Research.

LAPORAN EMIR Research yang menganggarkan Malaysia kerugian sebanyak RM4.5 trilion dalam tempoh 26 tahun akibat rasuah mendapat kritikan Khairy Jamaluddin dan Shahril Sufian Hamdan.

Artikel dihasilkan oleh Dr Rais Husin itu menjelaskan segala kerugian dialami kebanyakannya berpunca daripada kegiatan rasuah pihak atasan yang membawa kepada kejatuhan ekonomi negara.

Menganggap jumlah RM4.5 trilion sebagai satu angka yang tidak masuk akal, bekas Menteri Kesihatan dan bekas Pengarah Ekonomi di Pejabat Perdana Menteri Malaysia, Shahril mengkritik ulasan artikel tersebut melalui sesi temu bual 'podcast' yang dimuat naik di laman TikTok.

Jelas Shahril, bajet negara pada masa kini dianggarkan sekitar RM300 bilion dan kiraan kerugian yang diperkatakan adalah satu jumlah yang tersasar jauh daripada sepatutnya.

Dalam pada itu, Khairy Jamaluddin turut mempertikaikan sekiranya jumlah bajet daripada RM300 bilion yang dicatatkan setiap tahun oleh kerajaan, maka setengah daripada peratusan itu telah dicuri dan ia merupakan satu perkara pelik kerana sebanyak 80 peratus daripada perbelanjaan kerajaan adalah merupakan gaji penjawat awam.

"Macam mana gaji boleh songlap, itu tidak masuk akal," soal beliau.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut pernah menggerakkan siasatan dijalankan berhubung laporan Malaysia mengalami kerugian mencecah RM4.5 trilion dalam tempoh 26 tahun akibat rasuah dan ketirisan.

Beliau mengeluarkan arahan umum kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menyiasat perkara tersebut mengikut lunas perundangan.

Namun, setakat ini kerajaan masih belum dapat mengenal pasti jumlah keseluruhan kerugian, seperti yang dilapor oleh EMIR Research.

Kajian itu turut menjelaskan anggaran kerugian yang dihadapi negara bermula dari Krisis Kewangan Asia pada 1997 sehingga 2023 adalah secara konservatif dan jumlahnya berkemungkinan lebih besar. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram