[VIDEO] KJ calon sesuai DAP jadi PM — Kian Ming


  • Politik
  • Selasa, 02 Mei 2023

PN sebelum ini secara terbuka menawarkan Khairy untuk bertanding di bawah gabungan tersebut.

BEKAS ahli Parlimen DAP, Ong Kian Ming berpendapat Khairy Jamaluddin Abu Baakar dan Shahril Sufian Hamdan wajar mempertimbangkan pilihan untuk menyertai partinya.

Beliau berkata, ini kerana kedua-dua bekas pemimpin Umno itu mempunyai potensi untuk menjadi calon Perdana Menteri daripada DAP.

Kian Ming berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Khairy berkenaan sebab beliau yang bekas Ahli Parlimen Rembau itu dan Shahril perlu menyertai DAP menerusi program audio siar, KeluarSekejap di saluran YouTube.

"Perlu dipertimbangkan kerana DAP memerlukan calon Perdana Menteri dan both of you fit the bill (kedua-dua anda sesuai untuk tujuan itu)," katanya yang merupakan bekas Ahli Parlimen Bangi.

WhatsApp Image 2023-05-02 at 5.19.37 PM

Kian Ming ketika menyertai program audio siar tersebut yang dimuat naik di Youtube pada Selasa.

Khairy yang pernah memegang jawatan Ketua Pemuda Umno dipecat daripada parti itu selepas dikatakan melanggar disiplin dan undang-undang parti.

Manakala, Shahril yang juga bekas ketua penerangan parti digantung keahlian Umno selama enam tahun.

Buat masa ini, Khairy yang juga bekas Menteri Kesihatan masih tidak memberikan kepastian berhubung kedudukannya sama ada bakal menyertai parti lain dan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada tahun ini.

Perikatan Nasional (PN) sebelum ini secara terbuka menawarkan Khairy untuk bertanding di bawah gabungan tersebut.

Sementara itu, beliau pada program sama secara berseloroh menyatakan bahawa kemungkinannya untuk menyertai PRN kali ini disifatkan semakin kecil.

"Ramai tanya betul ke saya nak bertanding pilihan raya negeri, saya kata (sebelum ini) 80-20 (80 peratus bertanding, 20 peratus tidak). Sekarang ini 90-10. 90 (peratus) bersara," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram