Polis gemuk: Periksa berat badan dulu sebelum naik pangkat — PBPM


  • Massa
  • Rabu, 24 Mei 2023

Anggota polis tidak terlepas daripada isu kesihatan fizikal dan obesiti. — Gambar hiasan

ISU kesihatan kerap membelenggu masyarakat di Malaysia dengan masalah obesiti dan kiraan Body Mass Index (BMI) kekal menjadi topik perbualan kebelakangan ini.

Tidak terkecuali dalam hal tersebut, anggota polis juga turut dikaitkan dengan isu kesihatan apabila kebanyakan anggota trafik khususnya mengalami masalah berat badan melampau.

Bertitik tolak daripada itu, rata-rata masyarakat mula berpandangan sinis terhadap perkara tersebut dengan kenaikan kes jenayah ketika ini dikaitkan dengan isu terbabit.

Sesetengah pihak berpendapat bahawa faktor fizikal seseorang polis itu memainkan peranan penting dalam kes jenayah dan perlu ada tindakan ataupun undang-undang baharu daripada pihak atasan.

hi

Polis perlu menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala bagi mengekalkan kesihatan fizikal. — Gambar hiasan

Mengulas lanjut hal tersebut, Setiausaha Agung Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM), Mohamed Lokman Mahmud, 64, turut tidak menafikan bahawa isu obesiti sememangnya berlaku dalam kalangan polis.

Menurutnya, pihak atasan perlu menjalankan undang-undang baharu berkaitan isu berkenaan supaya ia dapat dibendung segera sekali gus mengubah persepsi masyarakat terhadap anggota polis.

"Memang kalau kita lihat isu obesiti dan berat badan ini tidak lari daripada polis dan perlu ada perubahan segera daripada pihak atasan.

"Salah satunya, pihak kerajaan mungkin boleh mengembalikan sistem kenaikan pangkat berdasarkan penilaian berat badan dan BMI polis, bukannya sistem 'time base' macam sekarang.

"Sistem sekarang yang saya tahu polis perlu menunggu dalam satu tempoh yang sangat panjang untuk naik pangkat, jadi bila dah terlampau lama kesihatan pun akan terjejas dan fizikal masing-masing berubah mengikut usia," katanya kepada Majoriti.

Jelasnya lagi, satu ketika dahulu polis diwajibkan untuk menjalani ujian latihan kesihatan secara berkala kerana kenaikan pangkat dinilai dari sudut itu.

Turut mencadangkan agar sistem kenaikan pangkat diperbaharui semula dalam tempoh terdekat, Mohamed Lokman yakin ia mampu mengurangkan isu obesiti dalam kalangan anggota sekiranya perkara itu dilaksanakan segera.

"Isu gemuk dan berat badan ini berlaku apabila polis menanti terlalu lama untuk dinaikkan pangkat, jadi mereka sudah tiada semangat ditambah pula dengan kekurangan latihan kecergasan, maka fizikal bentuk badan pun berubah.

"Sebagai contoh, untuk polis pangkat koperal naik ke sarjan sahaja perlu menunggu sekurang-kurangnya 13 ke 16 tahun untuk dinaikkan pangkat, jadi secara logiknya memang kesihatan bukan lagi menjadi keutamaan mereka," tambahnya.

Justeru, beliau mewakili Persatuan Bekas Polis Malaysia menggesa agar ada perubahan segera dilaksanakan pihak atasan berkaitan isu terbabit dengan keutamaan diletakkan kepada penggubalan sistem kenaikan pangkat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram