Hampir separuh pelajar lepasan SPM enggan sambung pelajaran, KPM giatkan program pupuk kesedaran kepentingan pendidikan


  • Primer
  • Rabu, 24 Mei 2023

PENINGKATAN pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang enggan melanjutkan pelajaran terus mencatatkan peningkatan daripada 115,939 orang pada 2020 kepada 180,680 pada tahun 2021.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, data tersebut diambil daripada sistem eProfil Kerjaya Murid (ePKM) memaklumkan hampir separuh pelajar lepasan SPM tahun 2021 tidak mahu menyambung pengajian ke menara gading.

"Kementerian sedang melaksanakan rancangan pembangunan peribadi dan pendidikan kerjaya di sekolah untuk meningkatkan kesedaran pelajar terhadap kepentingan pendidikan, di samping melengkapkan mereka dengan pengetahuan, kemahiran dan minat untuk kerjaya masa depan.

"Guru kaunseling juga telah diberi taklimat mengenai trend kerjaya terkini memandangkan peranan mereka dalam menasihati pelajar sekolah menengah tentang kemungkinan laluan kerjaya masa depan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis Parlimen kepada Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (BN-Tanjung Piai) pada Rabu yang bertanyakan jumlah pelajar yang mengambil SPM antara tahun 2020 hingga 2022 memilih enggan melanjutkan pelajaran dan langkah-langkah yang diambil oleh kementerian untuk menggalakkan pelajar mengatasinya.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata, kementerian komited untuk memotivasikan pelajar melanjutkan pelajaran demi kemajuan negara.

“Langkah lain yang diambil adalah melalui penganjuran program kerjaya dengan kerjasama universiti awam dan swasta serta agensi kerajaan, dengan biasiswa dan pinjaman pelajar turut ditawarkan,” katanya.The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram