SEBUAH kilang alat ganti kereta musnah sepenuhnya dalam satu kejadian kebakaran di Taman Perindustrian Batu Caves, Gombak, Selangor pada petang Selasa.
Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd. Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 3.17 petang.
"Sebanyak 24 anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang, BBP Rawang, BBP Sungai Buloh, dan BBP Petaling Jaya digerakkan ke lokasi kejadian.
“Kebakaran melibatkan sebuah kilang alat ganti kenderaan berkeluasan 15,000 kaki persegi, bangunan kelas A.
“Anggaran terbakar 100 peratus. Terdapat seorang mangsa cedera di tangan dan dirawat oleh pasukan perubatan di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurut Hafisham lagi, kebakaran dapat dikawal sepenuhnya pada pukul 4.07 petang Selasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram