MEMBUDAYAKAN penggunaan beg terbiodegradasi dalam kalangan peniaga di Malaysia adalah salah satu cabaran yang perlu ditempuhi kerajaan demi merealisasikan sasaran ke arah sifar beg plastik pada tahun 2025.
Pensyarah Kanan di Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Nurul 'Ain Ab Jalil berkata, ia berikutan harganya jauh lebih mahal berbanding beg plastik konvesional yang sering digunakan oleh golongan berkenaan.
Selain itu katanya, transisi peniaga ke arah pembungkusan makanan tanpa beg plastik juga akan menyukarkan peniaga kerana sudah terbiasa berbuat demikian sejak dahulu.
"Saya juga mengakui antara cabaran lain bagi melaksanakan usaha tersebut adalah untuk mengubah tabiat masyarakat yang sudah sekian lama bergantung kepada plastik dalam aktiviti harian.
"Jadi perubahan ini memerlukan sokongan dan dorongan yang padu dari pihak kerajaan khususnya sebagai contoh di mana dan bagaimana mereka boleh memperoleh produk terbiodegradasi untuk kegunaan harian," katanya kepada Majoriti.
Bagaimanapun, Nurul 'Ain berkata, sasaran kerajaan ke arah sifar beg plastik dalam tempoh dua tahun lagi dilihat realistik memandangkan kesedaran masyarakat terhadap penggunaan beg plastik terus meningkat.
Nurul 'Ain mempunyai kepakaran dalam pengurusan sisa pepejal dan rawatan sisa secara biologikal.
Katanya, kerajaan sejak tahun 2011 sangat komited dalam usaha menangani masalah lambakan plastik menerusi kempen-kempen seperti ’Hari Tanpa Beg Plastik' setiap hari Sabtu dan caj 20 sen bagi setiap beg plastik di Selangor.
Tambahan lagi, beliau berkata, banyak sektor industri pada masa kini mengambil initiatif kearah kesejahteraan hidup masyarakat dan alam sekitar selari dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) 2030.
"Sebagai contoh, visi Nestle Malaysia ke arah sisa sifar iaitu dengan memastikan bahawa tiada pembungkusan termasuk plastik, berakhir di tapak pelupusan atau sebagai sampah.
"Peranan lain yang boleh dimainkan oleh pihak pengeluar, pembekal malah peruncit adalah dengan memperkenalkan atau menggunakan produk bio-plastik dan pembungkusan plastik terbiodegradasi kerana ia lebih cepat terurai dan mudah dilupuskan berbanding plastik konvensional," katanya.
Pada 9 Mei lalu, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata kerajaan mensasarkan tiada lagi penggunaan beg plastik di semua premis dan sektor perniagaan di seluruh negara menjelang tahun 2025.
Menurutnya, pelaksanaan dibuat secara berfasa dari premis tetap sebelum beralih secara berperingkat kepada premis perniagaan termasuk warung atau peniaga gerai tepi jalan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram