Jual ganja dalam balang biskut raya, Kastam Johor tahan 2 lelaki edar dadah 24kg


  • 112
  • Isnin, 22 Mei 2023

Misbahudin menunjukkan gambar balang kuih raya mengandungi ganja untuk dijual kepada pelanggan.

KEGIATAN licik dua lelaki mengedar dadah menggunakan balang kuih raya akhirnya terbongkar dalam satu serbuan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor berdekatan Johor Bahru, Johor.

Pengarahnya, Misbahudin Parmin tangkapan pertama dibuat melibatkan seorang lelaki berumur 27 tahun bersama sembilan bungkusan pada pukul 12.05 tengah hari pada 11 April di sebuah syarikat penghantaran.

Menurutnya, bungkusan tersebut mengandungi 10 ketul ganja mampat yang disimpan dalam balang kuih raya dan sepatutnya dihantar ke Sabah dan Sarawak.

Misbahudin berkata, susulan penangkapan suspek pertama, suspek kedua berusia 29 tahun turut ditahan di rumahnya di Johor Bahru, Johor.

"Pemeriksaan di dalam rumah menemui ketulan tumbuhan dipercayai ganja yang masih belum dibungkus.

"Suspek kedua juga didapati positif ganja," katanya pada sidang media di Menara Kastam Johor, Johor Bahru, Johor pada Isnin.

Dalam pada itu, Misbahudin turut memaklumkan biskut raya 'istimewa' itu dijual secara dalam talian dengan harga melebihi RM100.

Katanya, JKDM Johor berjaya merampas 24 kilogram (kg) ganja bernilai RM82,874, dan kedua-dua suspek didakwa di mahkamah pada 20 April lalu.

"Balang itu lutsinar, dan kita boleh melihat dengan jelas kuih itu, tetapi di dalamnya mereka juga telah meletakkan bungkusan ganja.

“Biasanya kuih raya dijual dengan harga RM30, tetapi memandangkan ini kuih raya ‘istimewa’, jadi (ia) mahal,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman sama ada hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan dengan minimum 15 sebatan, jika sabit kesalahan. The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram