Pendaki OKU negara hilang selepas tawan puncak Everest


  • Benua
  • Sabtu, 20 Mei 2023

SEORANG pendaki negara, Muhammad Hawari Hashim, 33, dilaporkan hilang selepas berjaya menakluk puncak Gunung Everest pada 18 Mei lalu.

Berita kehilangannya yang juga orang kelainan upaya (OKU) pendengaran dan bisu itu dilaporkan oleh portal The Himalayan Times (THT) pada Sabtu.

Menurut Pengarah Pengembaraan Perintis, Nivesh Karki, Muhammad Hawari hilang sejak Jumaat selepas dia tiba di Kem Empat.

"Muhammad Hawari, seorang pendaki kurang upaya, tidak dapat dihubungi apabila ahli pasukan lain meninggalkan kem untuk menyelamatkan seorang lagi pendaki Malaysia," kata Karki.

Karki menambah, maklumat mengenai kehilangan mangsa telah dimaklumkan kepada semua pengendali bagi mengesan sekiranya mangsa berteduh di kem lain.

Sementara itu, laporan Astro Awani yang memetik sumber memaklumkan Muhammad Hawari merupakan kumpulan sama menyertai Malaysia Everest 2023 (ME 2023) bersama Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Lot Kol Awang Askandar Ampuang Yaacub yang dilaporkan meninggal dunia pada Jumaat.

Media pada Jumaat melaporkan kejayaan Muhammad Hawari menawan puncak Everest pada ketinggian 8,848 meter dari paras laut sehari sebelum itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram