USAHA bagi mengesan pendaki negara, Muhammad Hawari Hashim, 33 yang hilang di kawasan pergunungan Everest sejak Jumaat lalu sedang giat dijalankan.
Salah seorang peserta misi pendakian itu, Ayu Wanirah Naharuddin, 30, berkata, pasukan tersebut pada waktu ini melakukan pencarian melalui pemantauan udara dengan menggunakan helikopter yang disewa khas.
Menurutnya, Ketua Kumpulan Misi Ekspedisi, Azim Afif Ishak dan Sherpa Pioneer Adventure bernama Ngaa Tenji, turut cuba mengesan Muhammad Hawari di sepanjang laluan biasa digunakan pendaki.
"Dengan menggunakan helikopter, pencarian di sepanjang laluan pendakian itu dapat dilakukan dalam masa kira-kira 45 minit dan saya berharap Muhammad Hawari dapat ditemui dengan segera,” katanya.
Dalam pada itu Ayu Wanirah berkata, Muhammad Hawari yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) dan sherpa sepatutnya berehat di Kem 4 selepas berjaya menawan puncak tertinggi dunia itu.
"Saya difahamkan sherpa berkenaan telah tertidur selama kira-kira sejam kerana keletihan, namun selepas terjaga, beliau mendapati Muhammad Hawari tiada di dalam khemah dan cuba mencarinya di sekitar Kem 4, namun gagal menemukannya,” katanya.
Menurutnya sebaik sahaja mengetahui kejadian itu, mereka juga telah mengupah seramai lapan sherpa untuk membantu mencari di Kem 1 hingga Kem 4, tetapi usaha itu masih belum membuahkan hasil.
Muhammad Hawari yang menyertai ekpesdisi Malaysia Everest (ME) 2023 sebelum itu dilaporkan berjaya menawan puncak Gunung everest yang berketinggian 8,848 dari paras laut, pada Khamis.
Dia merupakan pendaki kumpulan pertama ke puncak Everest bersama pendaki yang juga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Kedah Lt Kol Awang Askandar Ampuan Yaacub.
Bagaimanapun, Awang Askandar, 56, disahkan meninggal dunia selepas terjatuh ketika melakukan pendakian ke puncak gunung Everest.
Program pendakian yang dianjurkan Kelab Eksplorasi Altitud memulakan misi menawan puncak tertinggi dunia itu bermula 2 April sehingga 2 Jun, dengan mendapat sokongan kerajaan dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Misi itu turut mempromosi perpaduan dan membina bangsa Malaysia melalui kepelbagaian bangsa. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram