[VIDEO] Pesara polis temui ajal ketika buat pusingan U di Kota Bharu


  • 112
  • Ahad, 21 Mei 2023

Tangkap layar video tular memaparkan insiden kemalangan maut yang berlaku di Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu di Melor, Kota Bharu, Kelantan pada Sabtu.

SEORANG pesara polis maut selepas kenderaan dinaikinya dirempuh sebuah pacuan empat roda ketika membuat pusingan U di Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu di Melor, Kota Bharu, Kelantan pada Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, Che Mohd Noor Awang, 63, meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala.

Menerusi video tular membabitkan insiden tersebut, kenderaan dinaiki Che Mohd yanng dilihat sudah bergerak bagi membuat pusingan U itu terseret kira-kira lebih 50 meter ekoran rempuhan terbabit.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika kenderaan jenis Isuzu D-Max dipandu seorang remaja berusia 18 tahun sedang dalam perjalanan dari arah Melor Ke Kubang Kerian.

WhatsApp Image 2023-05-21 at 2.12.38 PM

Anggota bomba dilihat sedang cuba mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kenderaannya.

“Sampai di lokasi kemalangan sebelum Wisma Haji Razali, secara tiba-tiba Perodua Viva dipandu Che Mohd datang dari arah bertentangan membuat pusingan U dalam jarak dekat.

“Remaja tersebut tidak sempat mengelak dan terlanggar sisi kiri kereta mangsa menyebabkan terseret sekitar 30 meter arah ke Kota Bharu,” katanya dalam satu kenyataan.

Rosdi berkata, mangsa tidak sedarkan diri selepas tersepit pada ruangan pemandu dan disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan oleh penolong pegawai perubatan Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian.

Katanya, remaja terbabit pula mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Zon Kuning hospital sama.

“Punca kemalangan dikenal pasti kerana tindakan pemandu kereta membuat pusingan U tanpa memberi keutamaan kepada kenderaan lain yang bergerak lurus hingga menyebabkan kemalangan,” ujar beliau. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram