[VIDEO] Harimau kumbang mati selepas dilanggar ketika melintas jalan di Jelebu


  • Tular
  • Sabtu, 20 Mei 2023

Tangkap layar beberapa video tular yang memaparkan harimau kumbang terbabit dilihat menghadapi kesukaran melintas sebuah jalan dipercayai di Bukit Tangga, Jelebu Negeri Sembilan pada Sabtu.

SEEKOR harimau kumbang liar terlibat dalam satu kemalangan dipercayai ketika cuba melintas sebuah jalan di Bukit Tangga, Jelebu, Negeri Sembilan pada Sabtu.

Kejadian tersebut tular menerusi perkongsian beberapa video dirakam pengguna yang melalui jalan tersebut ketika insiden berlaku.

Dalam salah satu klip terbabit, harimau terbabit pada awalnya dilihat mengalami kesukaran untuk melintas jalan.

Menerusi klip tersebut, beberapa pemandu didapati memberhentikan kenderaan dipercayai bagi membantu haiwan liar berkenaan melintas dengan selamat.

Pada masa sama, sebuah lori dilihat cuba meneruskan perjalanan ketika harimau kumbang tersebut masih berada di tengah-tengah jalan dan dilihat masih bergelut dan berlegar-legar di atas jalan untuk melintas.

WhatsApp Image 2023-05-20 at 8.37.37 PM

Keadaan harimau kumbang terbabit yang dipercayai sudah dialihkan ke longkang yang berada di sisi jalan tersebut.

Haiwan berkenaan kemudiannya dilihat bergerak ke arah lori tersebut dan terperosok di bawah kenderaan berat itu.

Perakam video berkenaan didengar meminta pemandu lori terbabit agar tidak bergerak kerana haiwan tersebut masih berada di bawah kenderaan terbabit.

Dalam pada itu, rakaman lain memaparkan keadaan haiwan tersebut sudah terbaring di tengah-tengah jalan dan tidak bergerak, namun tetap bernafas.

Sementara itu, satu video berasingan pula memaparkan harimau kumbang itu yang difahamkan sudah dialih ke longkang di tepi jalan berkenaan dengan ia dilihat masih bernafas tetapi tidak boleh bergerak.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet melahirkan rasa simpati terhadap keadaan haiwan spesis terancam itu.

Terdapat juga yang mengkritik tindakan pemandu lori berkenaan yang tetap cuba meneruskan perjalanan meskipun melihat haiwan tersebut berada di tengah-tengah jalan.

"Takkan lori dah slow takleh berhenti terus? Blind spot apanya. Dah boleh nampak dari jauh dan lori tu pun langgar slow-slow je kan?" soal Aru.

"Yang lori tu sibuk nak jalan kenapa?" ujar Adipati Sastroe Abd Rahman.

"Haiwan tu dah la tak banyak, janganlah dilanggar. Biar pihak bertanggungjawab uruskan," tulis Khairul Hafizad.

Harimau kumbang merupakan spesies dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716].

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Jelebu DSP Maslan Udin berkata, haiwan seberat 40 kilogram terbabit mati akibat dilanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dalam insiden kemalangan pada kira-kira 2 petang tadi.

Katanya, kenderaan MPV jenis Honda Odyssey itu yang dipandu seorang lelaki berusia 38 tahun bersama keluarganya sedang dalam perjalanan dari arah Seremban ke Kuala Klawang.

"Setibanya di tempat kejadian iaitu ketika melalui selekoh kanan menuruni bukit di lokasi tersebut, harimau kumbang berkenaan secara tiba-tiba melintas dari arah kanan jalan menyebabkan lelaki itu tidak sempat mengelak dan melanggar binatang itu.

"Akibat pelanggaran, harimau kumbang itu sempat bergerak ke longkang berhampiran kira-kira empat meter namun mati di lokasi tersebut. Lelaki berkenaan dan keluarganya pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Beliau berkata bangkai harimau kumbang itu diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan untuk tindakan selanjutnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

kemalangan, tular, harimau kumbang, lori, Jelebu